PTT Synergy jual pegangan 70% dalam Heap Wah Barakah dengan nilai RM15 juta | DagangNews Skip to main content

PTT Synergy jual pegangan 70% dalam Heap Wah Barakah dengan nilai RM15 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Dis - Pembekal bahan binaan, PTT Synergy Group Bhd (PTT) menjual 70% pegangan milik pengeluar barangan sanitari dan peralatan paip, Heap Wah Barakah Sdn Bhd (HWBSB) dalam satu perjanjian yang dijangka menghasilkan kerugian sebanyak RM13.8 juta.

 

Pegangan dalam HWBSB dijual kepada pemborong bahan binaan, HW Barakah Sdn Bhd pada harga RM15 juta.

 

Baki 30% pegangan dimiliki oleh Lum Pek Yoke (13.65%) dan Lam Weng Wai (16.35%). 

 

"Pek Yoke juga memegang 50% pegangan dalam HW Barakah," jelas pemfailan bursa PTT, semalam.

 

PTT berkata, hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan untuk membiayai modal kerja syarikat bagi perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan.

 

"Seiring dengan pengembangan perniagaan pembinaan dan pelaburan hartanah PTT, syarikat berpendapat ini adalah masa yang sesuai bagi penjualan.

 

"Ia adalah sebahagian strategi perniagaan PTT untuk menyusun semula dan menyelaraskan entiti dalam kumpulan PTT bagi mewujudkan struktur korporat yang lebih cekap dan berkesan," katanya.

 

Menurut PTT, nilai RM15 juta itu ditentukan berdasarkan persetujuan pembeli dan penjual.

 

Ia mengambil kira kos pelaburan PTT sebanyak RM2.5 juta dalam HWBSB dan 70% pegangan PTT dalam aset bersih sebanyak RM27.7 juta.

 

Setakat akhir September lalu, PTT mempunyai baki tunai dan deposit bank sebanyak RM22.93 juta, serta RM34.9 juta dalam bentuk deposit dengan bank. 

 

Jumlah pinjaman syarikat adalah RM391.64 juta, termasuk RM131.46 juta dalam hutang jangka pendek.

 

Saham PTT naik dua sen atau 1.89% untuk ditutup pada RM1.08 semalam, memberi nilai pasaran syarikat sebanyak RM458.1 juta. - DagangNews.com