KUALA LUMPUR 19 Dis - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memberikan nilai wajar kepada Swift Energy Technology Bhd pada 36 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 28.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 28 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Januari 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15X berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 2.3 sen bagi 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kumpulan itu secara prinsipnya terlibat dengan penyediaan automasi industri dan sistem kuasa, fokus kepada kawalan proses, kalis letupan (Ex) solar fotovoltaik (PV), pengagihan kuasa dan sistem lain.
Kumpulan itu juga memberi perkhidmatan kepada pelanggan terutamanya dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta produk bijirin, minyak makan dan industri pembuatan makanan.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan kumpulan itu akan dipacu pengembangan fabrikasi, penyimpanan, pejabat dan kemudahan R&D serta pengembangan operasi di Indonesia, selain penubuhan pasukan R&D baharu.
Katanya, kumpulan itu mempunyai kekuatan dari segi automasi perindustrian dan kepakaran sistem kuasa, rekod prestasi yang mantap dengan keupayaan eksport, modul solar PV yang diperakui, Kerjasama dengan Siemens serta beberapa pengedar sah jenama lain dan pengurusan berpengalaman.
PublicInvest berkata, Swift Energy merancang pembesaran kilang di Shah Alam daripada 69,950 kaki persegi kepada 156,710 kaki persegi menjelang 2027, termasuk kemudahan fabrikasi baharu serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Katanya, kumpulan itu juga akan menubuhkan anak syarikat di Jakarta, Indonesia menjelang 2025 bagi menyokong operasi tempatan an mengembangkan pangkalan pelanggannya.
"Menjelang 2027, mereka menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran dengan jentera baharu dan perisian reka bentuk bantuan komputer/pembuatan bantuan komputer (CAD/CAM)," katanya.
Sementara itu, hasil yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk membayar balik pinjamannya dan keperluan modal kerja serta digunakan untuk tujuan pembelian mesin, peralatan dan perisian.
Di samping itu, sebahagian hasil akan digunakan menyokong pengembangan perniagaan kumpulan ke Indonesia, termasuk penubuhan anak syarikat milik penuh dan pejabat di Jakarta.
M & A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com