CYBERJAYA 8 Okt – Penyedia terkemuka penyelesaian dan teknologi Pengurusan Modal Insan (HCM) tempatan, Ramssol Group Berhad (Ramssol) dan penyedia B2B SaaS yang berkembang pesat dalam penyelesaian berkuasa Kecerdasan Buatan Generatif (Gen-AI), HONO Asia Pte. Ltd (HONO) menjalin kerjasama yang mengunjurkan RM64.3 juta dalam urus niaga bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Kerjasama itu dijangka meningkatkan tawaran perniagaan Ramssol di seluruh Asia Tenggara, dengan fokus kepada keupayaan pengurusan sumber manusia yang dipacu AI, dibantu HONO yang beroperasi di 25 negara.
Kerjasama dengan HONO dijangka dapat membuka nilai komersial sehingga RM17.15 juta setahun, dengan unjuran RM64.3 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Teknologi Gen-AI yang maju daripada HONO bukan sahaja akan mempertingkatkan tawaran HCM Ramssol, tetapi juga membuka aliran pendapatan baharu dengan membolehkan integrasi penyelesaian sumber manusia yang dipacu AI dengan lebih cepat dan berkesan di seluruh rantau ini.
Mengintegrasikan keupayaan Gen-AI HONO akan mempercepatkan penyebaran penyelesaian modal insan yang diperkasa AI oleh Ramssol, merentasi perusahaan besar multinasional di Asia Tenggara, serta mendigitalkan operasi sumber manusia mereka dan meningkatkan produktiviti.
Penyebaran teknologi AI sumber manusia yang maju juga sejajar dengan pemerolehan strategik Ramssol terhadap Geekstart, sebuah syarikat AI yang berpusat di Thailand yang mengkhusus dalam automasi dan analitik data, menambah lapisan kepakaran AI ke dalam operasinya.
Kolaborasi tersebut merupakan langkah strategik untuk mempercepatkan perkembangan serantau Ramssol dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran teknologi sumber manusia yang berkembang pesat.
Dengan lebih 1 juta pengguna dan lebih 300 pelanggan perusahaan di seluruh rantau Asia Pasifik dan Asia Barat, jejak yang kukuh dan asas pelanggan yang mengagumkan HONO akan memberikan Ramssol akses kepada sektor yang berkembang pesat termasuk hospitaliti, penjagaan kesihatan, pembuatan, perkhidmatan IT dan e-dagang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, dengan memanfaatkan teknologi Gen-AI HONO dan kehadiran serantau mereka yang kukuh, syarikat dapat memberikan nilai yang lebih besar kepada pemegang kepentingan.
"Kami juga dapat memudahkan proses sumber manusia bagi pelanggan dan membuka peluang pendapatan baharu di pasaran yang berkembang pesat.
"Kerjasama Ramssol dengan HONO mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian berkuasa AI yang memenuhi keperluan perniagaan dan pekerja di rantau ini yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan.
Satu kajian terkini daripada firma rundingan perniagaan, Gartner meramalkan, AI akan mengautomasikan 69% tugas pengurusan rutin menjelang 2024, mengubah lanskap masa depan pekerjaan.
Dalam aspek sumber manusia, AI kini bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan, tetapi juga untuk memacu kelincahan, inovasi dan kolaborasi manusia-AI untuk pengambilan keputusan yang lebih pintar dan pengalaman pekerja yang diperibadikan.
Permintaan terhadap penyelesaian HCM di Asia Tenggara dijangka meningkat, didorong oleh peningkatan penggunaan digital dan keperluan untuk penyelesaian HCM Gen-AI yang lengkap.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HONO, Mukul Jain menambah, pihaknya gembira untuk berkerjasama dengan Ramssol bagi memperluaskan penyelesaian HCM Generatif AI kepada lebih banyak perniagaan di Asia Tenggara.
"Bersama-sama, kami akan memacu inovasi dalam landskap HCM, membantu perusahaan mengoptimumkan pengurusan tenaga kerja dengan data masa nyata, analitik ramalan, dan tindakan autonomi. Kerjasama ini meningkatkan kehadiran serantau kami dan kemampuan untuk berkhidmat kepada pelanggan," ujarnya.
Antara pelanggan HONO yang terkenal termasuk tiga Jenama Hospitaliti Antarabangsa Teratas.
Dengan jumlah gabungan 19,700 hartanah dan pendapatan global terkumpul sebanyak RM111.47 bilion merentasi ketiga-tiga jenama global tersebut, HONO telah menjalin kerjasama untuk penyebaran di pelbagai hartanah sebagai penyedia HCM pilihan. - DagangNews.com