KUALA LUMPUR 10 Okt - Platform perkhidmatan beli-belah dalam talian, AliExpress dan syarikat logistik, Parcel365, memperkenalkan AliX365, sebuah platform baharu yang direka untuk mempermudahkan proses pemerolehan bagi perniagaan tempatan dalam usaha memperkukuh kemampuan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peruncit tradisional di Malaysia.
Langkah inovatif itu bakal menghubungkan PKS secara langsung dengan rangkaian pembekal yang dipercayai, memudahkan proses pemerolehan dan memastikan harga yang kompetitif, sekali gus meningkatkan kemampuan mereka untuk berkembang dalam ekonomi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif AliX365, Eddie Mok Yew Keong berkata, AliX365 direka untuk memperkasa PKS Malaysia dengan menyediakan platform sehenti yang memudahkan pemerolehan produk serta kemudahan logistik.
"Selain pilihan pembiayaan yang fleksibel, kami juga menawarkan platform kepada peniaga yang membolehkan perniagaan mereka diakses dengan mudah dalam talian menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Pendekatan menyeluruh ini mengurangkan cabaran dan membantu perniagaan tempatan fokus pada kekuatan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, AliX365 juga komited menggalakkan inklusiviti dan menyokong perjalanan keusahawanan semua rakyat Malaysia kerana ia terbuka untuk kerjasama dengan koperasi, agensi kerajaan dan masyarakat kebajikan untuk membangunkan pakej perniagaan yang disesuaikan bagi kumpulan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah.
"Dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran kami, kami berhasrat mencipta peluang yang dapat diakses dan membantu individu dari pelbagai latar belakang untuk memulakan usaha keusahawanan mereka. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyediakan alat, latihan dan sokongan yang penting untuk membantu usahawan yang bercita-cita mengatasi halangan dan berkembang dalam ekonomi digital," ujarnya.
Pengarah Akaun Global Perniagaan AliExpress, May Wang menyifatkan AliX365 adalah satu pendekatan inovatif untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh industri peruncitan tradisional.
Katanya, Alibaba sebagai pemilik AliExpress secara berterusan menyumbang kepada pembangunan eksport dan ekonomi digital di Malaysia melalui kerjasama elektronik World Trade Platform (eWTP) dengan kerajaan Malaysia antaranya menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
"Kami akan menjadi rakan kongsi yang kukuh untuk PKS tempatan dan memberi inspirasi untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata May.
Ketua Bahagian Transformasi Digital MDEC, Datuk Fadzli Abdul Wahit menyatakan kepercayaan dan keyakinan yang dimiliki PKS di Malaysia dalam menuju ke arah digital, selaras dengan inisiatif strategik kebangsaan Malaysia Digital (MD).
Era pasca-pandemik menyaksikan permintaan tinggi untuk digitalisasi dan sumber rantaian bekalan, seterusnya mengubah perniagaan di seluruh dunia.
Penyelesaian e-sourcing AliX365 akan melihat penggunaan teknologi AI dan pemasaran digital AI dalam e-dagang yang dipacu oleh penyedia IT dan pemasaran, Ramssol Group Berhad.
Inisiatif berkenaan turut disokong Pengerusi Koperasi FK Capital Berhad, Yokiswaran Nadeson; CEO dan Pengasas Serunai Commerce, Amnah Shaari; Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Ramssol Group, Datuk Seri Cllement Tan; CEO NinjaVan Malaysia, Lin Zheng; Pengarah CORPSO, Loo Seng Kean; Pengurus Kanan iPay88, Weasley Wong Hong San; CEO dan Pengasas Bersama Zepty, Adrian Oh; dan SmartBee, yang dipimpin oleh Sam Shiew Pei.
- DagangNews.com