Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat akan dibentangkan di Parlimen tahun depan - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat akan dibentangkan di Parlimen tahun depan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tadbir Urus Negara (JKKTN) pada 16 Disember 2024.
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 17 Dis - Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI) akan dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, beliau berkata cadangan dasar penggubalan rang undang-undang itu dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tadbir Urus Negara (JKKTN) pada Isnin (16 Dis).

 

“Mesyuarat bersetuju bahawa rang undang-undang ini perlu dibentangkan di Parlimen pada 2025 untuk meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam, dengan memastikan hak individu untuk mengakses maklumat di bawah bidang kuasa kerajaan dijamin dan dilindungi oleh undang-undang,” katanya.

 

Anwar menambah, mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kerajaan.

 

Beliau berkata langkah ini diambil untuk meningkatkan imej dan persepsi negara berhubung tadbir urus yang baik dalam sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing.

 

“Kerajaan bertekad untuk terus memperkukuh agenda tadbir urus negara, meningkatkan integriti, dan memerangi rasuah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. - DagangNews.com