Rasionalisasi subsidi bukan dilaksana untuk menyusahkan rakyat - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Rasionalisasi subsidi bukan dilaksana untuk menyusahkan rakyat - PM Anwar

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 7 Okt - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyesuaian tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi diesel tidak dilaksanakan untuk menyebabkan kesakitan atau penderitaan kepada rakyat.

 

Perdana Menteri sebaliknya berkata berbilion Ringgit yang dijimatkan daripada tindakan ini kini sedang disalurkan semula kepada rakyat melalui subsidi lain dan pemindahan tunai.

 

"Itulah yang telah kami lakukan dan akan terus lakukan, sambil kami melangkah dengan berani dalam perjalanan melakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Forum Khazanah Megatrend 2024 hari ini.

 

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

 

Anwar berkata kerajaan komited terhadap tadbir urus, akauntabiliti, dan keadilan sosial, yang memastikan bahawa manfaat pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama, serta memberikan setiap rakyat Malaysia peluang untuk berjaya. 


Perdana Menteri juga juga memberi jaminan kerajaan tidak akan ambil mudah atau berpuas hati dengan pencapaiannya, sebaliknya akan terus berwaspada dalam menghadapi cabaran serantau dan global.

 

Ketika menegaskan perkara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ini penting walaupun usaha pembaharuan struktur negara telah membuahkan hasil sebagaimana dibuktikan oleh prestasi ringgit yang mengukuh, lonjakan pelaburan serta trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam pencapaian yang diraih oleh negara.

 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada komuniti pelaburan kita, baik asing dan domestik di atas kepercayaan serta keyakinan mereka terhadap ekonomi Malaysia selain tadbir urus, kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik kita," kata beliau.

 

Pada masa sama, Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus berkembang maju dalam persekitaran global masa kini.

 

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan negara untuk memberi tindak balas yang perlu berciri holistik dan diselaras serta mengutamakan kesejahteraan Malaysia bagi jangka panjang.

 

“Rangka kerja Ekonomi MADANI yang saya perkenalkan tahun lepas, jelas menggariskan bagaimana Malaysia dapat bersiap sedia untuk berdepan dengan ekonomi global yang semakin dinamik dan rumit,” kata beliau.- DagangNews.com