KUALA LUMPUR 28 Okt - RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' ke atas Sime Darby Property Bhd dengan menaikkan harga sasaran (TP) RM2.20 daripada RM2.00 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan TP itu didorong oleh pembukaan Bandar Elmina and Taman Perniagaan Elmina (EBP) yang dijangka terus memacu jualan dan pendapatan hartanah Sime Darby Property dalam tempoh 10 sehingga 15 tahun akan datang.
Bandar Elmina yang terletak di Shah Alam itu merangkumi 2,630 hektar tanah pegangan bebas dengan harga keluaran dalam negara kasar (KDNK) RM30 bilion.
Kini, bandar itu mempunyai 12,535 unit kediaman siap dan saiz populasi sebanyak 67,000.
RHB Investment menjangkakan, Bandar Elmina akan menjadi sebuah perbandaran yang maju dalam lima sehingga 10 tahun akan datang.
Selain itu, firma penyelidikan itu juga meramalkan Kanopi Residence yang akan dilancarkan oleh Sime Darby pada bulan depan akan dihabis jual.
Katanya, ia berdasarkan harga pangsapuri itu yang mampu milik serta kedudukannya yang hampir dengan sekolah, pusat perubatan dan hab pengangkutan.
"Bandar Elmina dan EBP kini merupakan penyumbang jualan hartanah dan jumlah itu telah meningkat sejak tiga tahun yang lalu dan menyumbang 25% sehingga 30% daripada jualan hartanah tahunan.
"Sejak pengumuman pelaburan pusat data Google, Sime Darby Property menyaksikan permintaan yang ketara dalam EBP.
"Memandangkan pemulihan bank tanah yang lebih pantas dan usaha berterusan dalam memaksimumkan nilai tanah perindustriannya, kami mengecilkan diskaun kami kepada nilai aset bersih (RNAV) kepada 20% daripada 25%," katanya.- DagangNews.com