KUALA LUMPUR 25 Sept - RHB Investment memberi harga wajar 49 sen terhadap Crest Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 18x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, sasaran PE itu mewakili diskaun 30% kepada rakan setaranya, mencerminkan permodalan pasaran yang lebih kecil, margin yang lebih rendah dan hanya model perniagaan tertumpu kepada pengedaran.
"Kami percaya kestabilan perniagaan pengedarannya, yang memenuhi pelbagai pasaran, bertindak sebagai faktor kitaran balas terhadap turun naik dalam kitaran semikonduktor, tetapi mungkin tidak menawarkan pertumbuhan yang menarik berbanding rakan setara sistem peralatan ujian automatik (ATE) pada masa yang sama
"Selain itu, aliran tunainya yang kukuh menyokong pengembangan perniagaan dan keupayaan untuk mengeluarkan pembayaran dividen minimum sebanyak 30%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Investment mengunjurkan CAGR pendapatan tiga tahun sebanyak 9.8%, sebahagian besarnya disokong pemulihan semikonduktor, yang dijangka memacu peningkatan perbelanjaan modal.
ARTIKEL BERKAITAN: Crest Group sasar kumpul RM45.75 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
Selain itu katanya, pengembangan serantau kumpulan, dengan tumpuan pada China, Vietnam dan Thailand, harus menyumbang ke arah pertumbuhannya.
"Kumpulan itu menyasarkan untuk meluaskan pangkalan pelanggannya merentas sektor semikonduktor, E&E, akademik, penjagaan kesihatan dan sains hayat, meningkatkan kepelbagaian dan menstabilkan aliran pendapatannya," katanya.
Firma penyelidikan tu berkata, kumpulan itu memperuntukkan RM15.8 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai pemerolehan ibu pejabat baharu di Selangor, memusatkan operasinya di wilayah tengah Malaysia.
Sejumlah RM5.9 juta diperuntukkan untuk pembelian peralatan demonstrasi untuk meningkatkan usaha jualan dan pemasarannya.
"Selain itu, RM14.5 juta diperuntukkan untuk pengembangan serantau, dengan tumpuan pada peningkatan bahagian pasaran di China, Thailand dan Vietnam, sambil menyasarkan industri baharu seperti penjagaan kesihatan dan sains hayat," katanya. - DagangNews.com