Ringgit cecah RM4.14 berbanding dolar AS buat kali pertama sejak November 2021 | DagangNews Skip to main content

Ringgit cecah RM4.14 berbanding dolar AS buat kali pertama sejak November 2021

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1490/1600 berbanding dolar AS. - Gambar/DagangNews

KUALA LUMPUR 25 Sept - Ringgit mengekalkan momentum menaiknya berbanding dolar AS pada pembukaan hari ini, menembusi paras RM4.14 buat kali pertama sejak November 2021, kata seorang pakar ekonomi.

 

Ini disebabkan oleh data ekonomi tempatan yang lebih baik daripada jangkaan, penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dan kebimbangan terhadap prospek ekonomi AS.

 

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1490/1600 berbanding dolar, berbanding 4.1550/1605 penutup Selasa.

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS merosot lebih daripada jangkaan kepada 98.7 mata, menunjukkan bahawa pengguna, yang membentuk dua pertiga daripada ekonomi AS, berhati-hati dengan prospek masa depan.

 

"Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.49% kepada 100.360 mata.

 

"Oleh itu, ringgit sewajarnya kekal positif berikutan penurunan kadar faedah selanjutnya di AS," katanya kepada Bernama.

 

Ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

 

Ia susut berbanding euro kepada 4.6427/6550 daripada 4.6274/6335 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5704/5852 daripada 5.5590/5663, dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9002/9083 daripada 2.8796/8836.

 

Ia juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

 

Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/274.0 daripada 273.5/274.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.40 daripada 7.39/7.40 semasa ditutup pada Selasa.

 

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2348/2437 daripada 3.2244/2289 dan berkurangan kepada 12.7184/7607 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand.- DagangNews.com