Saham ECA Integrated jatuh 12% kepada 25.5 sen susulan rugi bersih suku tahunan | DagangNews Skip to main content

Saham ECA Integrated jatuh 12% kepada 25.5 sen susulan rugi bersih suku tahunan

Gambar hiasan dari laman web rasmi ECA Integrated
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis - Saham ECA Integrated Solution Bhd jatuh sebanyak 12% atau 3.5 sen kepada 25.5 sen pada hari Isnin dalam dagangan aktif selepas syarikat sistem automasi itu melaporkan satu lagi kerugian bersih suku tahunan dan kehilangan liputan penganalisis.

 

Saham itu didagangkan pada 27.5 sen pada 9.45 pagi, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM159 juta. 

 

Jumlah dagangan berjumlah hampir sembilan juta saham setakat ini.

 

Public Investment Bank, satu-satunya syarikat penyelidikan yang masih menilai ECA Integrated berkata, ia akan menghentikan liputan saham itu, berdasarkan prospek yang mencabar di tengah-tengah jualan kereta global yang lembap.

 

"Kemelesetan dalam industri automotif global disebabkan oleh peralihan strategi dan perang Harga yag mengakibatkan beberapa pemain automotif menarik balik atau memperlahankan perbelanjaan modal mereka," katanya.

 

Saham ECA Integrated, yang membina peralatan mengautomasikan pengeluaran untuk industri semikonduktor dan automotif, telah kehilangan lebih separuh daripada nilainya sejak awal 2024 apabila syarikat itu bergelut dengan kerugian bersih dua suku berturut-turut.

 

Syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE pada November 2022 itu, memperoleh kira-kira satu pertiga daripada pendapatannya daripada pelanggan dalam industri semikonduktor. 

 

Menurut laporan tahunan atau keputusan suku tahunan terkininya, ECA Integrated tidak memberi pecahan hasil mengikut segmen industri.

 

Pada harga terakhirnya, ECA Integrated masih berada di atas harga tawaran awam permulaannya sebanyak 17 sen sesaham.

 

Public Investment berkata, ECA Integrated, bagaimanapun, mempunyai modal yang mencukupi, sambil menyatakan syarikat itu berada pada kedudukan tunai bersih RM18.9 juta. 

 

"Ini membolehkan syarikat itu bertahan dalam keadaan sukar untuk dua tahun akan datang," kata firma penyelidikan itu.

 

Syarikat itu kini dikawal oleh Ketua Pegawai Operasi, Chua Lye Hock yang memliliki 23% kepentingan dan Ketua Eksekutif, Ooi Chin Siew yang memegang 21% kepentingan, manakala Naib Presiden dan Ketua Reka Bentuk dan Pembangunan Kang Ewe Kheng, mempunyai 12% kepentingan dalam syarikat itu.-DagangNews.com