Saham syarikat pengeluar aluminium, Winstar Capital dibuka 40% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Saham syarikat pengeluar aluminium, Winstar Capital dibuka 40% lebih tinggi pada penampilan pertama di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Saham syarikat pengeluar produk aluminium, Winstar Capital Bhd dibuka 40% lebih tinggi daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

 

Saham syarikat itu dibuka 14 sen lebih tinggi pada 49 sen berbanding harga IPO iaitu 35 sen setiap satu, meningkatkan kira-kira RM25.9 juta terutamnya bagi kegunaan pengembangan kapasiti pembuatannya. Pada dagangan sebelah pagi, sejumlah 4.77 juta saham bertukar tangan.

 

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vincent Chua Boon Hong berkata, pihaknya merancang untuk memasang empat saluran penyemperitan aluminium tambahan dengan kapasiti gabungan 8,580 tan setahun, yang dijangka meningkatkan jumlah kapasiti operasi pembuatan daripada 6,705 tan kepada 15,285 tan setahun.

 

Beliau berkata, piaknya juga menyasarkan untuk memasang dua talian penyemperitan aluminium baharu yang pertama menjelang suku kedua 2025, dengan baki dua saluran penyemperitan aluminium baharu menjelang suku kedua 2026.

 

"Pengembangan ini membolehkan Winstar dan anak syarikatnya membekalkan lebih banyak produk aluminium tersemperit kepada pelbagai pelanggan, termasuk syarikat pembinaan, pemaju hartanah, pengeluar produk aluminium, pemborong, dan kejuruteraan PV (fotovoltaik) solar, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan syarikat EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan) di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan yang disokong firma tenaga boleh diperbaharui (RE) Sunview Group Bhd, menyaksikan 14.5 juta saham disediakan kepada orang ramai Malaysia di bawah IPO mereka, terlebih langgan sebanyak 80.17 kali.

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan pelabur sehingga 25.5% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Penyertaan Winstar ke dalam pemasangan system solar fotovoltaik (PV) bermula 2023, apabila ia mula menjalankan perniagaan perdagangan bahan dan aksesori berkaitan solar, dan penyediaan perkhidmatan pemasangan sistem berkenaan.

 

Pada tahun yang sama, Sunview menerusi anak syarikat milik penuhnya, Vafe System Sdn Bhd, memperoleh 20% kepentingan dalam syarikat itu. 

 

Sunview kemudiannya meningkatkan pegangannya kepada 30% pada Februari 2024, selepas memperoleh 10% kepentingan daripada Mestron Holdings Bhd.

 

Selepas IPO, pegangan saham Sunview dalam Winstar akan dicairkan kepada 24.15%.

 

Pada harga IPO 35 sen sesaham, Winstar Capital akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM101.5 juta, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham. 

 

TA Securities Holdings Bhd merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com