SAIC Motor Malaysia raikan 39 juruteknik bertauliah berjaya lengkapkan latihan teknikal kenderaan ICE dan EV | DagangNews Skip to main content

SAIC Motor Malaysia raikan 39 juruteknik bertauliah berjaya lengkapkan latihan teknikal kenderaan ICE dan EV

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Okt - SAIC Motor Malaysia mengumumkan kejayaan pengijazahan sebanyak 39 Juruteknik Bertauliah MG, yang bersedia memberikan perkhidmatan selepas jualan dengan kualiti dan kecekapan tertinggi.

 

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory QiFeng berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjanjikan kepuasan pelanggan, tetapi juga meningkatkan keyakinan mereka terhadap kenderaan MG di seluruh Malaysia.

 

Katanya, program latihan yang ketat tersebut direka untuk kedua-dua teknologi Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) dan Kenderaan Elektrik (EV), dengan kerjasama jurulatih serta pakar akademik tempatan yang berpengalaman. 

 

"Modul dan sukatan pelajaran diambil daripada pasaran luar negara di mana SAIC beroperasi, memastikan juruteknik dilengkapi dengan pengetahuan terkini dan piawaian yang tinggi.

 

"Ia termasuk undangan oleh SAIC Motor International kepada SAIC Motor Malaysia untuk menyertai inisiatif latihan global bagi model MG4 dan ZS EV di Shanghai, serta MG5 dan MG HS di Thailand," katanya dalam satu kenyataan.

 

MG

 

Emory menyifatkan, inisiatif berkenaan telah memberikan latihan praktikal kepada jurutekniknya melibatkan kemahiran penting untuk menyelenggara dan membaiki kenderaan MG terkini di seluruh dunia.

 

"Dengan peningkatan ketara dalam penggunaan EV di Malaysia, dua penasihat perkhidmatan wanita adalah antara 39 graduan yang telah menunjukkan peranan penting juruteknik EV," ujarnya.

 

Beliau menambah, latihan khusus itu tidak hanya memberi tumpuan kepada teknologi model kereta baharu, malah turut mempersiapkan peserta menghadapi cabaran masa depan dalam industri automotif. 

 

Katanya, SAIC Motor Malaysia komited untuk menghantar juruteknik mendapatkan latihan yang lebih mendalam, merangkumi bidang utama seperti EV dan Teknologi Bateri Voltan Tinggi, serta peningkatan kemahiran dari Junior Tech ke Master Tech.

 

"Latihan dan perkhidmatan adalah aspek penting dalam pengalaman pelanggan, terutamanya dalam peningkatan kenderaan elektrik di Malaysia," jelasnya.

 

Emory berkata, pihaknya berdedikasi membina tenaga kerja yang mahir yang dapat memenuhi jangkaan pelanggan. - DagangNews.com