SD Guthrie, AME Elite bangunkan taman industri hijau di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura | DagangNews Skip to main content

SD Guthrie, AME Elite bangunkan taman industri hijau di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Nov - SD Guthrie Bhd dan AME Elite Consortium Bhd, melalui anak syarikatnya AME Industrial Park, bekerjasama untuk membangunkan sebuah taman industri hijau di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Taman industri seluas 259.4 hektar itu yang terletak di ladang Kulai milik SD Guthrie di Johor, akan dilengkapi dengan taman solar khusus untuk membekalkan tenaga hijau.

 

Reka bentuk taman tersebut bertujuan menarik industri bernilai tinggi seperti logistik, pembuatan maju dan teknologi bersih, dengan menawarkan pelbagai pilihan kilang siap sedia dan yang direka khas.

 

Kedua-dua syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk merangka strategi bagi memaksimumkan potensi projek berkenaan, dengan rancangan untuk memuktamadkan kerjasama dalam tempoh lima bulan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, taman industri baharu itu, mewakili langkah yang akan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar dalam JS-SEZ.

 

"Selama beberapa dekad, kami telah mengendalikan ladang kelapa sawit, kilang dan penapisan di negeri Johor, dan kami sentiasa komited untuk memacu pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Taman itu akan mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat dan amalan mampan.

 

AME Elite telah menyelesaikan empat projek pembangunan industri di Johor dan sedang membangunkan empat projek lain di Johor dan Pulau Pinang, dengan jumlah keluasan tanah sekitar 323.75 hektar dan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM6 bilion.

 

SD Guthrie pada Mei 2024 mengumumkan syarikatnya sedang berkembang ke taman industri hijau dan tenaga boleh diperbaharui, untuk memanfaatkan nilai tanahnya yang luas di Malaysia dan mencipta aliran pendapatan yang mampan.

 

SD Guthrie sedang dalam perbincangan aktif dengan beberapa agensi negeri dan rakan perniagaan berpotensi untuk membangunkan tanah di seluruh Malaysia.

 

Pada Ogos 2024, SD Guthrie mengumumkan kemungkinan kerjasama dengan TH Properties Sdn. Bhd. untuk membangunkan taman industri terurus pertama di Malaysia yang diperakui HALMAS. - DagangNews.com