KUALA LUMPUR 1 Nov - RHB Investment mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan meskipun prospek pinjaman dan deposit menyederhana menjelang keputusan 3Q24.
Menurut RHB Investment, pertumbuhan sektor perbankan boleh mengembang dengan menurunkan kadar deposit serta meningkatkan kualiti aset.
Katanya, sistem pinjaman menaik 5.6% tahun-ke-tahun (YoY) pada September 2024, didorong oleh isi rumah , perdagangan borong & runcit dan segmen kewangan.
“Secara keseluruhannya, kadar pertumbuhan pinjaman perniagaan perlahan kepada +5% YoY, diseret oleh sektor seperti pertanian dan utiliti,”katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman tahunan bank YTD meningkat pada 5%.
“ Walaupun prestasi itu di bawah ramalan 5% sehingga 5.5% kami bagi 2024, kami tidak menolak kemungkinan pengeluaran pinjaman pada akhir tahun.
“ Dari segi deposit pula, ia menyaksikan peningkatan 3.3% YoY pada kadar yang perlahan berbanding pertumbuhan pinjaman.
“Pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (CASA) terus mengembang pada 5% YOY melebihi deposit tetap.
Sementara itu, nisbah modal CET-1 kelihatan mencukupi dan nisbah jumlah modal kekal stabil sejak Januari 2023 pada 14% sehingga 15% dan 18% sehingga 19%.
Pinjaman PKS pada Ogos 2024 meneruskan trajektori pertumbuhan pinjaman yang kukuh pada +10% YoY (+1% MoM), manakala nisbah GIL PKS secara amnya stabil pada 3.07%,” ujarnya.
Syarikat pilihan utama RHB Investment bagi sektor ini, dengan saranan ‘beli’ adalah AMMB Holdings Berhad (AmBank) (TP: RM5.90), Alliance Bank Malaysia Bhd (TP: RM5.10), CIMB Group Holdings Berhad (harga sasaran [TP]: RM9.25) dan Hong Leong Bank Bhd (TP: RM18.50).- DagangNews.com