KUALA LUMPUR 17 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pengurusan akhbar Kwong Wah Yit Poh berhubung penyiarann gambar Jalur Gemilang tidak sempurna.
Laporan tersebut berkaitan gambar bendera Malaysia yang dimuat naik di akaun Facebook akhbar itu, kata SKMM.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, menurut kenyataan suruhanjaya tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ilustrasi Jalur Gemilang: KDN keluarkan surat tunjuk sebab terhadap Sin Chew Daily
“SKMM memandang serius perkara itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta polis dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” katanya.
MCMC memberi amaran tegas kepada semua pihak agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap sifat.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” katanya.
Katanya lagi, SKMM komited memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak sempurna pada penerbitan muka depannya.
KDN telah memulakan siasatan serta-merta dengan memanggil wakil Sin Chew Daily berhubung perkara itu.
Tindakan tersebut berpandukan kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. - DagangNews.com








