KUALA LUMPUR 9 Okt – Platform e-dagang Shopee, Malaysia terus membantu membantu penjual dari Pantai Timur dan Malaysia Timur menghubungkan diri dengan jutaan pelanggan di seluruh negara berikutan masalah logistik dihadapi peniaga dari kawasan berkenaan.
Dengan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia lebih gemar membeli-belah dalam talian berbanding kedai fizikal dan lebih separuh telah mengamalkannya secara kekal, Shopee membantu penjual luar bandar mengatasi cabaran geografi dengan memberikan akses terus kepada berjuta-juta pembeli.
Perubahan itu amat penting kepada penjual di dua kawasan tersebut, di mana 30% daripada populasi tinggal, tetapi cabaran logistik sebelum ini menghalang pertumbuhan mereka.
Pada tahun 2023, pakar menganggarkan, pasaran e-dagang Malaysia akan berkembang sebanyak 7% setiap tahun, mencecah RM1.9 trilion pada tahun 2027 berbanding RM1.4 trilion pada tahun 2023.
Lonjakan berkenaan menekankan keperluan logistik yang cekap, terutamanya dalam menghubungkan penjual luar bandar dari Pantai Timur dan Malaysia Timur dengan pembeli di kawasan bandar utama.
Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata, Shopee komited untuk memperkasakan penjual dari setiap pelosok Malaysia terutamanya di Pantai Timur dan Malaysia Timur, di mana geografi mungkin memainkan peranan dalam mengehadkan pertumbuhan mereka.
"Kami telah mengurangkan masa penghantaran barangan menerusi kerjasama dengan rakan logistik terkemuka. Ini membolehkan penjual memperluaskan capaian mereka dan menembusi pasaran baharu seperti Lembah Klang dengan lebih pantas daripada sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi ramai penjual, Shopee bukan sekadar platform untuk mengembangkan perniagaan mereka, malah merupakan penyambung hayat yang telah mengubah hidup mereka.
Seorang penjual dari Kota Bharu, Kelantan, Siti Nur Nazifa Mazlan, mula berniaga di Shopee selepas kehilangan ibu bapanya.
Sebagai penjaga utama adik-adiknya, pendapatan melalui perniagaan dalam taliannya, CT Naz Empire Solution, telah membolehkan beliau menyara keluarga sambil membina perniagaan yang berjaya.
“Shopee telah memberi saya peluang untuk menyara adik-adik saya tanpa perlu meninggalkan rumah. Saya boleh menjaga mereka sambil membina perniagaan. Ia telah mengubah hidup saya," katanya dalam satu kenyataan.
Pemilik Keropok Mfaizz di Besut, Terengganu, Muhammad Faizz menyifatkan perniagaannya kini lebih meluas selepas produknya dengan pantas dapat sampai ke Selangor dan Johor, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan tanpa kewujudan Shopee.
"Sejak menjual di Shopee, saya menerima lebih 100,000 pesanan, dengan purata 100 jualan setiap hari.
"Kejayaan perniagaan membolehkan saya membina rumah sendiri dan menyediakan pekerjaan kepada 25 pekerja tempatan," kata Muhammad Faizz.
Pemilik Sarawak Online Store, Hamidah, turut berkongsi kisah kejayaan yang serupa apabila sebanyak 70% daripada jualan beliau datang dari Malaysia Barat, membolehkan beliau berkembang jauh melangkaui pasaran tempatan.
Katanya, pada musim puncak seperti Hari Guru, produk cenderamata ukiran kayu beliau boleh menjana sehingga RM40,000 hasil jualan, kebanyakannya datang daripada pelanggan di Malaysia Barat.
"Sebelum menyartai Shopee, perniagaan saya hanya tertumpu di Sarawak. Kini, saya dapat mencapai pelanggan di seluruh negara, dan Shopee memastikan produk saya tiba dengan cepat, walaupun semasa tempoh permintaan tinggi," kata Hamidah. - DagangNews.com