Sunway REIT lengkapkan pemerolehan pusat beli-belah 163 Retail Park berharga RM215 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT lengkapkan pemerolehan pusat beli-belah 163 Retail Park berharga RM215 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Sunway REIT Management Sdn Bhd, pengurus Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) berjaya melengkapkan pemerolehan pusat beli-belah tujuh tingkat yang dikenali sebagai 163 Retail Park di Mont Kiara pada harga RM215 juta dan dijenamakan semula sebagai Sunway 163 Mall (Sunway 163).

 

Pusat beli-belah itu terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan akses mudah melalui Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang.

 

Sunway 163 kini 99% diduduki, dengan lebih 100 penyewa dan jenama merentasi pelbagai tawaran runcit, memenuhi pasaran Mont Kiara, Hartamas dan Segambut.

 

Memenuhi pelbagai keperluan masyarakat sekeliling, Sunway 163 disokong oleh Jaya Grocer dan dilengkapi dengan pelbagai pilihan kedai makanan dan minuman, di samping tawaran gaya hidup dan hiburan seperti perkhidmatan kesihatan serta kecantikan, pawagam, gelanggang luncur ais dan banyak lagi.

 

Pengurusan Sunway REIT berkata, pusat beli-belah itu dijangka memberikan hasil pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 6.5% kepada portfolio Sunway REIT.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Clement Chen berkata, kemasukan pusat beli-belah itu, sebagai aset runcit terkemuka di Mont Kiara, akan mengukuhkan lagi portfolio runcitnya.

 

"Usaha untuk menambah baik penyelenggaraan dan peredaran trafik di Sunway 163 akan dimulakan tidak lama lagi untuk meningkatkan pengalaman pembeli.

 

"Perancangan jangka panjang untuk meningkatkan aset melalui pengoptimuman campuran penyewa dan penyusunan semula ruang lantai sedang dirangka bagi memastikan Sunway 163 akan menjadi destinasi gaya hidup utama di Kuala Lumpur Utara," katanya.

 

Beliau berkata, pengumuman jajaran MRT3 baru-baru ini merupakan petanda baik untuk Sunway 163 kerana cadangan stesen Sri Hartamas terletak dalam jarak berjalan kaki dan akan meningkatkan lagi kebolehcapaian ke pusat beli-belah selepas laluan itu siap. - DagangNews.com