KUALA LUMPUR 10 Dis - Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengenakan denda lewat sebanyak RM62,333.35 sebulan kepada syarikat pembekal ekoran kegagalan memenuhi kontrak sewaan Sikorsky UH-60 Black Hawk.
Sebanyak 4 buah helikopter ini sepatutnya dibekalkan kepada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Menurut laporan laman media pertahanan Air Times News Network, sumber memaklumkan, denda tersebut dikenakan bermula 1 Mei hingga akhir Oktober lalu.
Ini mengikut tarikh Surat Setuju Terima (SST) kontrak sewaan ini dibatalkan yang mana tindakan susulan syarikat gagal melunaskan tanggungjawab.
Laporan itu juga memberitahu bon pelaksanaan bernilai RM1.87 juta turut dirampas.
Denda dan rampasan bon pelaksanaan itu merupakan tindakan susulan Mindef berikutan kegagalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk.
Sebelum ini, kontrak Black Hawk dianugerahkan kepada syarikat Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. melalui tender terbuka pada tahun 2022.
Kesemua helikopter Black Hawk sepatutnya telah diterima secara berperingkat-peringkat pada 30 Oktober 2023 dan 30 Disember 2023.
Tarikh itu kemudian dilanjutkan pada awal tahun ini sebelum dimaklumkan pada April dan Mei sehinggalah kelewatan penghantaran dibangkitkan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Tempoh kemudian diberi sehingga Oktober lepas untuk penghantaran Black Hawk iaitu mengikut tarikh dipersetujui dalam surat lanjutan kedua dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Mindef.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Oktober menegaskan kontrak sewaan tersebut dibatalkan sekiranya pembekal gagal memenuhi syarat penghantaran yang ditetapkan.
Bulan lalu, kontrak tersebut dibatalkan Mindef selepas syarikat terbabit gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober.
Kegagalan projek sewaan 4 buah helikopter Black Hawk dilihat telah merugikan Mindef terutamanya PUTD sebagai pengguna apabila membazirkan masa yang lama.
Jika dikira daripada tempoh penghantaran sebenar helikopter pada Oktober tahun lalu, sepatutnya PUTD telah setahun mengoperasikan pesawat ini.
Sepanjang tempoh itu juruterbang dan kru termasuk kakitangan teknikal sudah memahirkan diri dengan corak operasi pesawat Black Hawk melalui latihan-latihan yang dijalankan.
Kemungkinan juga helikopter Black Hawk sedang digunakan dalam operasi menghantar bekalan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas.
Sebaliknya, PUTD terpaksa menanti lebih lama sebelum menerima helikopter lain sebagai pengganti Black Hawk. - DagangNews.com