Syarikat pembekal rumusan pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia terima kelulusan Bursa Malaysia pindah ke Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat pembekal rumusan pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia terima kelulusan Bursa Malaysia pindah ke Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Syarikat pembekal rumusan pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia Bhd telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.

 

Syarikat itu pada mulanya disenaraikan di Pasaran LEAP pada Disember 2020.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) yang dicadangkan itu akan menawarkan pelabur 23.62% kepentingan dalam syarikat itu pada harga yang akan ditentukan kemudian, menurut pendedahan prospektusnya yang dikeluarkan pada Oktober 2024.

 

ICT Zone Asia disasarkan untuk berada di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang suku kedua tahun ini, dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 795.45 juta saham.

 

"Kami amat berterima kasih kepada Bursa Malaysia kerana meluluskan permohonan penyenaraian kami, dan kami teruja untuk memulakan lembaran baharu pertumbuhan dan peluang ini. 

 

"Pencapaian kejayaan ini mencerminkan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan kepercayaan berterusan yang kami sasarkan untuk membina bersama pemegang kepentingan kami," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ICT Zone Asia, Tommy Lim Kok Kwang.

 

Syarikat itu merupakan penyedia rumusan ICT yang menawarkan penyelesaian pembiayaan teknologi, perdagangan perkakasan dan perisian ICT, perkhidmatan ICT serta rumusan dan perkhidmatan awan. Pangkalan pelanggannya termasuk rakan kongsi strategik dan rakan kongsi saluran, syarikat, agensi kerajaan dan pelanggan runcit.

 

Dana yang akan dikumpul daripada terbitan awam diperuntukkan untuk pemerolehan perkakasan dan perisian ICT untuk mengembangkan perniagaan ruusan pembiayaan teknologi, serta menampung perbelanjaan jualan dan pemasaran.

 

ICT Zone Asia dimiliki majoriti oleh ICT Zone Holding Sdn Bhd, yang pemegang sahamnya termasuk Datuk Seri Ng Thien Phing dan Tommy Lim Kok Kwang.

 

Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO manakala SCS Global Advisory bertindak sebagai penasihat kewangan.- DagangNews.com