KUALA LUMPUR 2 Okt - TA Securities memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, Northeast Group Bhd pada 59 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 18% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 50 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2024.
Kata firma penyelidikan itu, Northeast Group dinilai berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 22.3 kali daripada pendapatan sesahamnya (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23).
“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 20 kali ganda kepada EPS tahun kalendar 2025 (CY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor itu," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
Menurut TA Securities, terdapat tiga faktor kelebihan kompetitif kumpulan iaitu rekod prestasi cemerlang dalam pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan, hubungan yang lama dengan pelanggan serta pasukan pengurusan yang berpengalaman.
"Kumpulan itu terlibat dalam pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan yang digunakan dalam industri fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan optoelektronik.
ARTIKEL BERKAITAN: Northeast Group lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana hingga RM110.4 juta
"Operasi perniagaan berpangkalan di Malaysia dan produknya dieksport terutamanya ke pasaran luar negara," katanya.
TA Securities menganggarkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 2.3% kepada RM17 juta untuk FY24 dan 23% kepada RM20.8 juta untuk FY25, disokong oleh pelan pengembangan perniagaan serta prospek industri yang lebih baik.
Unjuran itu mengambil kira pertumbuhan hasil 2% hingga 15% untuk FY24 hingga FY25.
Sementara itu, Northeast Group juga telah memperuntukkan 23.67% daripada hasil IPO untuk membayar balik pinjaman bank, 14.65% untuk pembelian 36 mesin CNC baharu bagi meningkatkan anggaran kapasiti operasi tahunannya manakala 7.81% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian dan baki 6.53% untuk modal kerja.
Hasil daripada penjualan saham sedia ada, sementara itu, akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan termasuk Pengarah Urusan Ng Chay Chin dan abangnya Ng Chai Hee, yang juga merangkap Pengarah Operasi Kanan.
Pengarah Eksekutif, Chong Ewe Hean, Pengarah Perniagaan dan Jualan Kanan, Yin Thien Hee bersama dua pemegang saham lain iaitu Ng Meng Hang dan Tang Ah Lek juga akan menjual saham sedia ada mereka.
Affin Hwang Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO Northeast Group. - DagangNews.com