KUALA LUMPUR 9 Okt - TA Securities memberikan nilai wajar kepada pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, OB Holdings Bhd pada 27 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 12.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2024.
Kata firma penyelidikan itu, OB Holdings dinilai berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 17.1 kali daripada pendapatan sesahamnya (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
“Oleh itu, kami mengaitkan sasaran P/E sebanyak 12.4 kali ganda kepada EPS tahun kalendar 2025 (CY25), yang selaras dengan purata berat PER syarikat-syarikat setara dalam sektor makanan dan minuman (F&B)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, tinjauan bagi industri F&B dan makanan tambahan di Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7.43%, mencecah RM16.9 bilion dari 2018 hingga 2023, berdasarkan laporan penyelidikan pasaran bebas oleh Smith Zander.
Katanya, pertumbuhan lima tahun itu didorong peningkatan penyakit kronik, pemodenan, populasi yang semakin tua dan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi.
Memandang ke hadapan, Smith Zander meramalkan bahawa penggunaan F&B dan makanan tambahan akan kekal teguh, didorong oleh peningkatan kesedaran tentang gaya hidup sihat dan peningkatan pencegahan penyakit tidak berjangkit di Malaysia.
Menerusi segmen jenama sendiri, kedua-dua produk F&B dan produk makanan tambahan mengalami peningkatan permintaan disebabkan oleh produk yang baharu dilancarkan daripada GoHerb.
"Selain itu, jualan yang lebih tinggi dalam segmen susu tepung adalah disebabkan peningkatan permintaan daripada pelanggan sedia ada di Thailand dan tiga pelanggan tempatan," katanya.
Sementara itu, daripada jumlah hasil sebanyak RM28.8 juta, RM14.9 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank yang ditanggung daripada pembinaan Kilang Serendah.
Sejumlah RM5 juta diperuntukkan untuk pembelian mesin baharu, manakala RM900,000 akan digunakan untuk membina makmal baharu di Kilang Serendah baharu dan menjalankan ujian klinikal untuk Bonlife SachaQ10 Plus Softgel.
Baki dana akan digunakan untuk tujuan operasi am, termasuk RM1 juta untuk aktiviti pemasaran dan pengiklanan, RM3 juta untuk modal kerja, dan RM4 juta untuk menampung perbelanjaan berkaitan IPO.- DagangNews.com