KUALA LUMPUR 19 Dis - Time Dotcom Bhd berada di landasan terbaik untuk menerima manfaat daripada lonjakan penghantaran data yang dipacu pusat data yang didayakan Kecerdasan Buatan (AI) baharu di Malaysia, kata Kenanga Research.
Melangkah ke hadapan, pihaknya percaya, AI generatif akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu.
"Perusahaan mengumpul sejumlah besar data untuk latihan dan rujukan model AI.
"Set data ini dihoskan di pusat data yang berkembang pesat di Malaysia," kata firma penyelidikan itu.
Menurut platform analitik DCByte, kapasiti pusat data di Malaysia diramal meningkat 11 kali ganda daripada 280MW pada suku pertama 2024 kepada lebih daripada 3.2GW menjelang 2028.
Mengenai kemasukan pusat data dan trafik Internet itu, firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan yang kukuh untuk perkhidmatan lebar jalur global dan daratan Time, disokong oleh rangkaian kabel dasar laut dan gentian optiknya yang luas.
Kenanga Research juga mengharapkan syarikat bersekutu Time, AIMS yang memiliki dan mengendalikan pusat data untuk mempercepatkan pengembangannya ke pasaran baharu ASEAN.
Katanya, ia membolehkan syarikat itu melayari pasaran lokasi bersama yang berkembang pesat di rantau ini, terutamanya di tengah-tengah peraturan yang lebih ketat mengenai penyimpanan data dan pemastautin tempatan.
"Tambahan kepada itu adalah permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan awan oleh perusahaan tempatan yang menjalani transformasi digital, memanfaatkan Time sebagai antara penyedia perkhidmatan awan tempatan terbesar," katanya.
Katanya, pasaran awan awam Malaysia diunjur mencecah AS$5 bilion pada 2029, membayangkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 22% antara 2023-2029.
“Berdasarkan perkara ini, kami meramalkan pertumbuhan hasil sebanyak 2%-9% untuk segmen awan Time pada tahun kewangan 2024 (FY24)-FY25, yang menyumbang 11% daripada hasil sembilan bulan pertama FY24,” katanya.
Kenanga Research menegaskan, kumpulan itu mempunyai kelebihan daya saing berbanding pemain yang lebih kecil dengan menawarkan rumusan hujung ke hujung yang disepadukan dengan infrastruktur sedia ada.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas Time dengan saranan "outperform" dan harga sasaran RM5.91 sesaham. - DagangNews.com