KUALA LUMPUR 19 Dis - Telekom Malaysia Berhad (TM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas melalui cabang digitalnya, Petronas Digital Sdn Bhd (PDSB) dan cabang tenaga bersihnya, Gentari Sdn Bhd (Gentari), untuk memacu peralihan digital dan inovasi mampan bagi industri dan negara.
Di bawah kerjasama itu, TM dan Petronas akan meneroka aliran pendapatan baharu melalui pengembangan penawaran produk kepada pasaran perusahaan dan pengguna.
Mereka juga akan memacu pertumbuhan dan daya cipta melalui pusat data, teknologi awan canggih dan kesalinghubungan untuk perniagaan di Malaysia.
Penyepaduan rumusan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta Internet of Things (IoT) dijangka meningkatkan perkhidmatan, kecekapan operasi dan menambah baik perkhidmatan awam, menyumbang kepada masa depan yang lebih pintar dan mampan.
Acara pertukaran MoU diadakan antara Naib Presiden Perniagaan Perusahaan, TM One, Megawati Norhashim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PDSB, Ts. Shaharuddin Hamid Mustapha; dan Timbalan CEO & Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Gentari, Shah Yang Razalli.
Ia disaksikan oleh Naib Presiden Eksekutif bagi TM One mewakili TM, Shazurawati Abd Karim; Naib Presiden, Penyampaian Projek & Teknologi, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof; dan Naib Presiden Kumpulan Teknologi & Pengkomersialan mewakili Petronas dan Gentari, Izwan Ismail.
Shazurawati berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Petronas dalam memacu daya cipta digital dan mampan yang akan memperkasa pertumbuhan, kemajuan industri, serta keupayaan teknologi Malaysia.
"Infrastruktur TM yang kukuh di seluruh negara dan rumusan yang pelbagai, sejajar dengan matlamat Petronas untuk peralihan tenaga.
"Dengan memanfaatkan kuasa 5G, awan, AI dan IoT, kami sedang membina asas untuk masa depan yang lebih cekap dan berdaya tahan sekali gus mencerminkan visi bersama kami untuk Malaysia yang lebih maju secara digital dan mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Ir. Yusri pula berkata, kerjasama antara Petronas dan TM yang kini diperkuatkan lagi dengan penglibatan Gentari, akan mendorong penciptaan aplikasi bernilai yang memanfaatkan kuasa teknologi termasuk teknologi bersih, yang boleh dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan berskala besar dalam pelbagai industri.
"Dengan berpegang kepada komitmen Petronas terhadap penciptaan nilai bermakna dan kesan sosial yang positif, kami teruja dengan perubahan yang bakal berlaku.
"Kami berhasrat untuk sama-sama membentuk ekosistem digital yang berkembang pesat dan mampan," ujarnya.
Kerjasama antara Gentari dan TM turut meneroka penyepaduan rumusan tenaga bersih melalui tenaga solar dan pengecasan EV di kemudahan-kemudahan TM.
Shah berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong kerjasama berkenaan, yang menekankan peranan tenaga bersih dalam memajukan digitalisasi dan kelestarian di Malaysia.
"Dengan menyepadukan tenaga yang boleh diperbaharui dan rumusan pengangkutan hijau ke dalam operasi TM, kami berhasrat untuk menyumbang ke arah laluan mampan dalam peralihan tenaga negara.
"Kerjasama ini menonjolkan usaha bersama kami untuk mencipta ekosistem digital yang lebih mampan serta menyokong hasrat Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," jelasnya.
TM, Petronas, dan Gentari akan terus menetapkan standard baharu dalam industri dengan memanfaatkan teknologi canggih dan amalan mampan untuk mencipta pencapaian baharu dalam peralihan digital Malaysia. - DagangNews.com