KUALA LUMPUR 7 Jan - Toyo Ventures Holdings Bhd (TVHB) telah mengeluarkan notis pertikaian terhadap Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MOIT) Vietnam berikutan penamatan projek Loji Kuasa Terma Song Hau 2 miliknya.
Pertikaian berkenaan kontrak BOT (Bina, Kendali, Pindah) untuk loji kuasa, yang ditamatkan oleh MOIT pada 5 Julai 2024, disebabkan pengaturan kewangan yang tidak diselesaikan.
Anak syarikat milik penuh TVHB, Song Hau 2 Power Company Ltd (SH2P), menerima notis penamatan itu selepas gagal menangani isu pembiayaan menjelang tarikh akhir 30 Jun 2024.
Di bawah kontrak BOT, kedua-dua pihak dikehendaki terlibat dalam perbincangan selama 45 hari untuk menyelesaikan pertikaian.
Jika tiada keputusan yang memuaskan dicapai, TVHB akan mendapatkan remedi undang-undang.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Toyo Ventures memakluman syarikat itu telah mencalonkan wakil untuk memudahkan dan membuat susulan untuk menjadualkan perbincangan.
"Jika kami gagal memperoleh hasil yang memuaskan menurut notis tersebut, kami kemudiannya akan melaksanakan semua remedi undang-undang yang tersedia untuk kami di bawah undang-undang,” katanya.
Projek Song Hau 2, bertujuan untuk membangunkan loji janakuasa haba arang batu 2 x 1,060 MW di Vietnam, bermula pada Disember 2020. - DagangNews.com