KUALA LUMPUR 2 Nov — U Mobile Sdn Bhd, yang telah dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara, akan mengurangkan pegangan saham majoriti asingnya kepada 20 peratus bagi memastikan penguasaan Malaysia yang lebih besar dan mengundang penyertaan daripada pelabur tempatan.
U Mobile kini separuh dimiliki oleh Straits Mobile Investments Pte Ltd yang disokong dana pelaburan Singapura, Temasek yang memegang 48.3% kepentingan dalam syarikat telekomunikasi jingga itu.
Ini diikuti oleh DYMM Agong Sultan Ibrahim memegang 22.3% dan taikun Tan Sri Vincent Tan menerusi Magnum Berhad pada 7.8%, Singer (Malaysia) Sdn Bhd pada 6.1% dan U Telemedia Sdn Bhd pada 5.6%.
Dalam kenyataan hari ini, penyedia telekomunikasi itu berkata langkah itu sejajar dengan komitmennya terhadap agenda nasional.
“Dengan rekod prestasi yang terbukti menjangkau lebih daripada 17 tahun, U Mobile berada pada kedudukan yang baik untuk pelancaran rangkaian 5G kedua.
“Dedikasi kami kepada perkhidmatan yang mudah diakses dan inovatif telah memberikan kami banyak pujian, termasuk dinobatkan sebagai ‘Malaysia Mobile Services Company of the Year’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali.
U Mobile juga telah diiktiraf kerana menawarkan kelajuan internet keseluruhan terpantas di Malaysia,” kata syarikat telekomunikasi itu.
Pada masa ini, pelanggan U Mobile menggunakan kapasiti 5G paling banyak di negara ini berbanding penyedia perkhidmatan lain.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pemilihan U Mobile selepas melakukan penilaian teknikal dan komersial terperinci.
ARTIKEL BERKAITAN: U Mobile, milik Tan Sri Vincent Tan dipilih menerajui rangkaian 5G kedua Malaysia, kata MCMC
U Mobile berkata ia teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk MCMC dan syarikat telekomunikasi lain seperti CelcomDigi dan Telekom Malaysia untuk menyampaikan perkhidmatan termaju 5G bertaraf dunia kepada pengguna.
Ia telah terlibat secara proaktif dengan penyedia teknologi global terkemuka termasuk Huawei, dan juga akan bekerjasama dengan Digital Nasional Bhd untuk memastikan pengguna terus menikmati pengalaman 5G terbaik. - DagangNews.com