KUALA LUMPUR 9 Okt - Universiti UCSI menganjurkan hackathon pertamanya dan menarik lebih 400 pelajar dari sekolah menengah, kolej dan universiti di seluruh negara.
Acara yang dinanti-nantikan itu menandakan pelancaran rasmi Hackathon UCSI, satu inisiatif yang direka untuk mencabar peserta untuk menceroboh pengkomputeran awan (cloud platform) yang selamat dan menangkap seberapa banyak bendera yang mungkin dalam masa yang terhad.
Naib Canselor dan Presiden UCSI, Prof Datuk Ts Ir Siti Hamisah Tapsir menekankan ketepatan masa pertandingan itu, di tengah-tengah ancaman serangan siber yang semakin meningkat di peringkat tempatan dan global.
"Di Malaysia sahaja, Cyber999 merekodkan lebih 3,000 insiden siber pada 2024. Kebanyakan serangan ini menyasarkan sektor kritikal seperti industri penerbangan dan telekomunikasi.
"Namun, Malaysia menangani perkara tersebut dengan kelulusan Akta Keselamatan Siber 2024 baru-baru ini, mewujudkan 12,000 pekerjaan untuk memenuhi matlamat 25,000 pembela siber," katanya dalam satu kenyataan.
Siti Hamisah berkata, dengan mengambil bahagian dalam hackathon, pelajar sedang menguji kemahiran mereka dalam pengekodan, keselamatan siber dan pemikiran kritis serta mempersiapkan diri untuk menjadi pakar keselamatan siber masa depan.
Hackathon tersebut mewakili pencapaian terkini Institut Sains Komputer dan Inovasi Digital UCSI yang diadakan dengan kerjasama Palo Alto Networks dan AceTeam Networks.
Lebih 100 pasukan bertanding dengan pasukan Iconitive muncul sebagai pemenang keseluruhan, memperoleh hadiah utama RM5,000.
Iconitive yang terdiri daripada lima ahli iaitu Sim Hong Bing, Yuen Tze Svenn, Sean Lim Jhun Yu dan Joyanne Poong Qi Yue, terkejut dengan kemenangan itu kerana tiga daripada mereka adalah peserta kali pertama.
"Saya menyertai pertandingan ini untuk menimba pengalaman dan mengetahui lebih lanjut tentang penggodaman beretika. Saya tidak pernah menyangka kami akan menjadi juara," Tze Svenn.
Ketua pasukan, Hong Bing menambah, terdapat banyak inisiatif kerajaan untuk mengukuhkan keselamatan siber.
"Kami berada di landasan yang betul, dan perjalanan kami masih jauh," ujarnya.
Berada dalam 1% teratas dunia dalam QS World University Rankings 2025 berdasarkan kedudukan 265 teratasnya, Universiti UCSI menonjol sebagai salah satu universiti swasta terkemuka di Asia. - DagangNews.com