KUALA LUMPUR 5 Nov - Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menjalinkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasa inovasi berasaskan teknologi satelit.
MoU itu dimeterai oleh Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah di UNITEN.
Kerjasama tersebut merupakan kesinambungan daripada usaha sama strategik yang telah dimulakan sejak tahun 2017.
Fokus kerjasama terbabit kini diperluas kepada perkongsian data satelit, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan kapasiti dalam sektor tenaga dan infrastruktur.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif strategi pintar antara universiti dan agensi kerajaan dalam membangunkan penyelidikan sains dan teknologi angkasa.
Dr. Khairul Salleh berkata, Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) yang merupakan satu daripada Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (HICoE) di UNITEN sedang giat menjalankan projek-projek penyelidikan dan perundingan yang menggunakan data satelit dan sistem maklumat geografi (GIS) dalam kajian infrastruktur tenaga, yang membolehkan pemantauan jarak jauh bagi perubahan alam sekitar dan pemetaan risiko bencana.
“Pendekatan ini sangat bermanfaat dalam perancangan dan pembangunan projek infrastruktur tenaga dan kerjasama dengan MYSA ini akan meningkatkan lagi keupayaan bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azlikamil pula menyifatkan, skop kerjasama itu dapat membuka lebih banyak peluang penerokaan bidang baharu dalam sektor angkasa di samping memperkasa jaringan perkongsian maklumat bidang sains dan teknologi angkasa dan meningkatkan kompetensi pegawai kedua-dua pihak melalui program latihan serta pemindahan teknologi.
“Jalinan kerjasama strategik ini seiring dengan komitmen MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) serta selaras dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh MOSTI,” katanya.
Kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh skop kerjasama dalam sektor angkasa meliputi penyelidikan, pembangunan dan pengoperasian sistem stesen bumi.
Selain itu, ia turut memperlihatkan kepentingan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi angkasa untuk keselamatan tenaga, perkongsian penggunaan kemudahan projek penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi angkasa, perkongsian bahan, informasi dan penerbitan dalam bidang sains dan teknologi angkasa, pelaksanaan program latihan, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.
Kerjasama antara UNITEN dan MYSA itu dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sains angkasa dan tenaga negara, sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi hijau dan inovasi berasaskan sains. - DagangNews.com