Untung bersih Infomina pada 1QFY25 melonjak 10.25% didorong margin lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Infomina pada 1QFY25 melonjak 10.25% didorong margin lebih tinggi

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Firma perkhidmatan teknologi maklumat (IT), Infomina Bhd mencatat keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2024 (1QFY25) meningkat 10.25% berbanding tahun sebelumnya didorong margin keuntungan kasar yang lebih tinggi. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM8.01juta daripada RM7.27juta, manakala hasil susut 17.84% tahun ke tahun (YoY) kepada RM46.18 juta daripada RM56.21 juta.

 

Pendapatan sesaham meningkat kepada 1.33 sen daripada 1.21 sen pada 1QFY24.

 

Syarikat itu tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk suku tersebut.

 

Infomina berkata pendapatan suku tahunannya diseret ke bawah oleh reka bentuk dan penyampaian segmen rumusan infrastruktur teknologi syarikat, yang melaporkan penurunan hasil sebanyak 63.31% kepada RM6.23 juta, daripada RM16.98 juta pada 1QFY24.

 

Perniagaan operasi infrastruktur teknologi, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan syarikat, bagaimanapun, menyaksikan peningkatan hasil suku tahunan kepada RM39.95 juta daripada RM39.22 juta sebelumnya. 

 

Menurut Infomina, kemajuan dalam industri teknologi maklumat dijangka terus memacu trajektori pertumbuhannya dalam rangka utama, keselamatan siber dan segmen kecerdasan buatan (AI).

 

"Kami memanfaatkan peluang ini dengan menjalin kerjasama dengan rakan kongsi melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkemaskan akses maklumat korporat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia melalui SSM Search, platform digital komprehensif kami. 

 

"Kami juga akan memanfaatkan  rumusan kecerdasan buatan  (AI) bagi memupuk akses dan analisis data yang dipertingkatkan dalam institusi perniagaan dan kewangan.

 

"MoU ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan," katanya. - DagangNews.com