Untung bersih PGF Capital pada 9MFY25 meningkat kepada RM20 juta disokong peningkatan jualan segmen penebat | DagangNews Skip to main content

Untung bersih PGF Capital pada 9MFY25 meningkat kepada RM20 juta disokong peningkatan jualan segmen penebat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Untung bersih PGF Capital Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2024 (9MFY25) meningkat kepada RM20 juta berbanding RM12.3 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama taun sebelumnya disokong jualan lebih tinggi dalam segmen penebat.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 27.3% kepada RM121.3 juta berbanding RM95.3 juta pada 9MFY24

 

Segmen penebat kekal sebagai sumber hasil utama, menyumbang 99.1% daripada jumlah hasil dalam 9MFY25, dengan baki daripada pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan segmen lain.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fong Wern Sheng berkata, permintaan berterusan untuk produk penebat, terutamanya di Oceania, didorong oleh semakan kod bangunan yang mewajibkan peningkatan penggunaan dan sasaran Kerajaan Australia untuk 1.2 juta rumah baharu . 

 

Katanya, di peringkat tempatan, Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga 2024 yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025 dijangka merangsang permintaan domestik, kerana ia merupakan kunci kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan menggalakkan kelestarian tenaga. 

 

"Walaupun kami kekal optimistik mengenai permintaan keseluruhan dalam segmen penebat, kami menyedari potensi angin kencang jangka terdekat. 

 

"Ini termasuk dolar Australia dan New Zealand yang lebih lemah; kos pengangkutan yang tinggi; dan kekurangan buruh mahir sementara diburukkan lagi dengan mogok pekerja binaan yang berterusan di Australia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Tawaran produk baharu kumpulan, panel bulu mineral, kini sedang menjalani pensijilan oleh Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Jabatan Bomba Malaysia.

 

Sementara itu, kumpulan berkenaan menerusi Nexel Development KHTP Sdn Bhd, baru-baru ini mengumumkan cadangan pengambilalihan kira-kira 3.88 hektar tanah pegangan bebas daripada Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. sebanyak RM12.7 juta dalam bentuk tunai dan balasan dalam bentuk barangan.

 

Rancangannya adalah untuk membina pembangunan guna bercampur yang menampilkan kondominium, hotel, kediaman perkhidmatan dan ruang komersial dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM600 juta.

 

Pada 30 November 2024, PGF Capital mengekalkan kunci kira-kira yang sihat dengan kedudukan tunai bersih yang positif sebanyak RM8.7 juta. 

 

Penggearan kumpulan berada pada 0.11x pada suku ini disokong aset bersih sesaham RM1.36. - DagangNews.com