Untung bersih Press Metal Aluminium pada 3QFY24 meningkat 31.4% kepada RM402.3 juta dipacu prestasi lebih baik syarikat bersekutu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Press Metal Aluminium pada 3QFY24 meningkat 31.4% kepada RM402.3 juta dipacu prestasi lebih baik syarikat bersekutu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat 31.4% kepada RM402.3 juta berbanding RM306.1 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu prestasi lebih baik daripada syarikat bersekutu.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku tersebut juga meningkat sebnayak 9.8% kepada RM3.78 bilion berbanding RM3.44 billion pada 3QFY23 disokong harga aluminium lebih tinggi.

 

"Bagi sembilan bulan FY24 (9MFY24), hasil meningkat 10.5% kepada RM11.35 bilion, manakala untung bersih melonjak 47.2% kepada RM1.32 bilion.

 

"Bersama set keputusan ini, Press Metal mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.75 sen sesaham, perlu dibayar pada 31 Disember 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata, prestasi kewangan kumpulan bagi suku tersebut dipengaruhi oleh susut nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang mendadak dalam tempoh yang singkat, mengakibatkan kerugian pertukaran asing yang ketara ke atas penghutang perdagangan dan aset tunai.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak termasuk kesan ini, prestasi asas kumpulan, disokong strategi jualan hadapan dan peningkatan jumlah produk nilai tambah yang akan menunjukkan hasil yang lebih kukuh.

 

"Press Metal kekal komited untuk mengejar pertumbuhan sambil mendepani cabaran makroekonomi.

 

"Peluasan operasi huluan kami, terutamanya melalui penapisan alumina seperti PT Bintan Alumina Indonesia dan PT Kalimantan Alumina Nusantara kedua-duanya di Indonesia, akan menjadi pemacu pertumbuhan kritikal bagi kumpulan dalam beberapa tahun akan dating," katanya.

 

Katanya, perubahan dasar tarif baru-baru ini, didorong ketegangan perdagangan, mewujudkan peluang dan pihaknya berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan.

 

"Strategi China+1 memacu pembangunan ekosistem rantaian bekalan baharu di Asia Tenggara, membuka peluang untuk sumber bekalan bahan alternatif," katanya.- DagangNews.com