KUALA LUMPUR 19 Dis - Untung daripada penjualan hartanah Scientex Bhd mampu mengimbangi sumbangan rendah segmen pembungkusan yang terkesan oleh tukaran mata wangh asing (forex) yang tidak menggalakkan, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan untung bersih Scientex pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) sebanyak 8% suku ke suku (QoQ) dan tahun ke tahun (YoY) sejajar dengan ramalannya.
"Walaupun ia mewakili 22% dan 21% daripada ramalan setahun penuh dan anggaran konsensus, kami menjangkakan pendapatan pembungkusan yang lebih kukuh dan lebih banyak pelancaran hartanah pada suku hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research menjangkakan pendapatan daripada segmen pembungkusan akan membaikpulih tetapi kekal lembut apabila impak forex menjadi normal.
"Selain itu, kami menjangkakan jualan hartanah mampu miliknya akan terus berdaya tahan memandangkan kadar pengambilan yang kukuh daripada pelancaran baru-baru ini.
“Sementara itu, pengambilan tanah yang lengkap di Muar (Johor), Kuala Selangor (Selangor), Seberang Perai (Pulau Pinang) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kolektif RM6.6 bilion berkemungkinan akan memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan dalam jangka sederhana.
"Kami percaya sumbangan daripada ahagian hartanah akan membantu kumpulan menampung permintaan dan margin pembungkusan.
"Kami terus menyukai Scientex kerana daya saingnya dalam industri pembungkusan plastik global, struktur kos rendah dan kedudukan kukuh dalam segmen perumahan mampu milik, terutamanya di Johor.
"Oleh itu, mengekalkan ramalan kami dengan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM4.15 sesaham.
Sementara itu, risiko terhadap saranan dan TP Scientex termasuk peningkatan harga resin, permintaan pengguna yang lemah untuk bahan pembungkusan akibat kemelesetan ekonomi global yang berpanjangan dan kadar inflasi yang tinggi. - DagangNews.com