KUALA LUMPUR 9 Okt - Vietjet melancarkan penerbangan sulung daripada Kuala Lumpur ke Hanoi bermula 28 November 2024 bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dari segi budaya, ekonomi dan pelancongan yang semakin berkembang di seluruh rantau itu.
Penerbangan VJ906 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi (HAN) itu akan berlepas pada 12:40 tengah hari waktu tempatan.
Di samping itu, penerbangan balik, VJ905, pula akan berlepas dari Hanoi ke Kuala Lumpur pada jam 7:20 pagi waktu tempatan.
Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan pesawat Airbus A320 untuk laluan tersebut yang bakal menawarkan pengalaman yang selesa dan cekap kepada semua penumpangnya.
Vietjet juga berkata, tiket penerbangan itu kini boleh dibeli melalui laman web rasminya, aplikasi mudah alih dan ejen rasmi.
"Pada 10 Oktober 2024, penumpang boleh menikmati diskaun sehingga 100% dengan tiket Eco serta kod promo VJ1010 bagi penerbangan antara 1 Januari sehingga 22 Mei 2025.
"Selain itu, tiket penerbangan sehala dengan harga serendah RM166 bakal tersedia pada setiap Jumaat di seluruh rangkaian penerbangan Vietjet bagi laluan baharu Kuala Lumpur-Hanoi serta laluan antarabangsa yang lain.
"Bagi mereka yang inginkan pengalaman premium, tiket tambang Deluxe juga boleh dibeli dengan diskaun sehingga 50% untuk perjalanan sehingga 20 November 2024, dengan faedah lain seperti bagasi daftar masuk percuma sehingga 40kg, pemilihan tempat duduk percuma dan penukaran jadual penerbangan percuma," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain laluan Kuala Lumpur-Hanoi, Vietjet berkata, syarikat sedang memperluaskan rangkaian penerbangannya di beberapa destinasi lain di Asia.
"Mulai 12 Disember 2024, kami akan menyambung semula laluan Ho Chi Minh City-Tainan, mengukuhkan lagi kedudukan utamanya dalam menghubungkan Vietnam-Taiwan.
"Kami juga akan meningkatkan kekerapan di laluan utama yang menghubungkan Hanoi ke Nagoya, Siem Reap, dan Busan, serta Ho Chi Minh City ke Vientiane dan Bali, mulai 27 Oktober 2024," katanya.- DagangNews.com