KUALA LUMPUR 10 April — Wasiyyah Shoppe Berhad mengunjurkan mampu menambah antara RM5 bilion hingga RM8 bilion nilai aset dalam pewarisan yang diuruskan syarikat perancangan harta pusaka patuh syariah itu menjelang tahun kewangan berakhir 2024 (FY24) pada 30 Jun 2025.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, keyakinan positif itu berdasarkan kepada trend perkembangan tahap kesedaran umat Islam di Malaysia yang semakin bertambah baik dalam isu pengurusan harta secara prinsip syarak.
"Insya-Allah, saya jangka boleh ditambahkan lagi nilai aset dalam pewarisan itu kerana selama 20 tahun Wasiyyah ditubuhkan, kami sudah membuktikan berupaya menyelesaikan pengagihan lebih RM45 bilion harta pusaka umat Islam," katanya pada sidang akhbar.
Terdahulu, beliau menyaksikan peluncuran penjenamaan baharu Wasiyyah oleh Pengerusi Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar dan dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

Ia selaras dengan pelan penstrukturan korporat yang telah pun selesai dilaksanakan kumpulan Wasiyyah Holdings Berhad serta pengumuman pelantikan pelakon yang juga usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor sebagai duta kepada syarikat tersebut.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, menurut perangkaan kerajaan sebelum ini dianggarkan terdapat lebih RM90 bilion harta pusaka masyarakat Islam terbiar dan gagal diuruskan waris kerana pelbagai faktor termasuk perbalahan anggota keluarga.
"Bagaimanapun, Wasiyyah sendiri sudah berjaya memuktamadkan kira-kira separuh daripada jumlah tersebut menerusi penyelesaian secara baik dan mengikut hukum faraid melibatkan lebih 100,000 pelanggan perkhidmatan kami di seluruh negara," tambahnya.
Beliau menjangkakan banyak kes tertunggak antaranya disebabkan terlalu ramai waris membuat tuntutan sebenarnya boleh diselesaikan dengan harmoni menerusi kempen penerangan yang aktif dilaksanakan Wasiyyah bagi membantu pihak terbabit.
Syarikat amanah patuh syariah itu juga kata beliau, akan memperbanyakkan lagi siri pencerahan berhubung manfaat pengurusan harta pusaka secara Islam kerana tinjauannya mendapati ramai masih belum faham dan terkeliru dengan maklumat salah.

Wasiyyah juga merancang untuk mengembangkan operasinya di luar negara dengan Oman dipilih menjadi perintis kerana taraf standard sistem pengurusan kewangan Islam di negara kesultanan Asia Barat itu diiktiraf sebagai terbaik dunia.
"Kami akan memperuntukkan kira-kira RM1 juta untuk pembukaan cawangan pertama di negara itu paling awal pada hujung 2025 atau selewat-lewatnya suku pertama 2026 dengan perbincangan pun sedang dalam peringkat akhir," kata Ariffin.
Perluasan premis di Oman jelas beliau, akan menjadi penanda aras sebelum meneroka banyak lagi negara-negara di rantau Asia Barat yang secara kelazimannya akan merujuk terlebih dahulu perkembangan operasi syarikat di negara tersebut.
Sekiranya Wasiyyah berjaya bertapak kukuh di Oman kata beliau, peluang untuk ia dapat pula menembusi pasaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka patuh syariah di negara-negara Islam lain akan menjadi lebih mudah. - DagangNews.com








