Westports catat peningkatan untung bersih 19.5% kepada RM233.07 juta pada 3QFY24 dipacu peningkatan hasil kontena | DagangNews Skip to main content

Westports catat peningkatan untung bersih 19.5% kepada RM233.07 juta pada 3QFY24 dipacu peningkatan hasil kontena

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih Westports Holdings Bhd meningkat 19.5% kepada RM233.07 pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM195 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan hasil kontena.

 

Kumpulan itu berkata, pendapatannya bagi suku itu meningkat 8% kepada RM572.57 juta daripada RM542.31 juta pada 3QFY23.

 

Syarikat bagaimanapun tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk tempoh kewangan setakat ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) keuntungan bersih Westports meningkat 11.85% kepada RM641.33 juta daripada RM573.35 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencapai jumlah pendapatan RM1.67 bilion berbanding RM1.59 bilion apabila syarikat itu mengendalikan jumlah kontena yang lebih tinggi sebanyak 8.11 juta TEU.

 

Katanya, perdagangan serantau intra-Asia menyokong pertumbuhan jumlah kontena Westports kerana lorong perdagangan ini menyumbang 66% kontena yang dikendalikan.

 

Dalam segmen konvensional, Westports mengendalikan kargo pukal berjumlah 9.02 juta tan metrik, yang akan menyokong aktiviti ekonomi domestik kerana pengeluaran yang lebih besar adalah untuk kargo projek, produk keluli, kacang soya, jagung, klinker/slag dan baja.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, pembesaran Terminal Kontena Westports 2 baharunya daripada CT10 kepada CT17 akhirnya akan hampir menggandakan kapasiti limbungan pengendalian 14 juta TEU kepada 28 juta TEU.

 

"Westports komited dan akan melabur serta mengekalkan Pelabuhan Klang sebagai salah satu hab pemindahan mega terbesar dan paling kompetitif di rantau ini dan pelabuhan perkapalan gerbang utama Malaysia.

 

“Pelabuhan Klang disenaraikan sebagai pelabuhan kontena ke-11 paling sibuk di dunia,” katanya.- DagangNews.com