KUALA LUMPUR 18 Dis - Worldwide Stainless Sdn Bhd (Worldwide Stainless) mengambil alih Bahru Stainless Sdn Bhd (Bahru Stainless) pada nilai RM424.4 juta, membuka semula kilang tersebut di Pasir Gudang, dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran keluli tahan karat global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Tan berkata, pengambilalihan itu adalah satu langkah untuk menjadikan Bahru Stainless sebagai sebuah perniagaan industri keluli yang berdaya cipta, lestari dan memenuhi piawaian global.
"Strategi ini sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Bahru Stainless sebagai peneraju dalam pembuatan keluli tahan karat sejuk.
"Kapasiti tahunan kilang ini sebanyak 300,000 tan metrik akan ditingkatkan secara berperingkat, memastikan kestabilan operasi dan kualiti yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan.
Bahru Stainless menghentikan operasinya pada Mei 2024.
Tan dalam ada itu berkata, pemerolehan tersebut bukan sekadar pembaharuan kosmetik, tetapi pihaknya melabur dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja dan mengguna pakai teknologi baharu untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang.
Malah katanya, kira-kira 90% daripada pekerja kilang itu yang diberhentikan, telah diambil bekerja semula, menunjukkan komitmen syarikat untuk mengekalkan bakat dan memastikan kesinambungan dalam operasi.
Tambah beliau, Worldwide Stainless juga memberi tumpuan untuk menyeimbangkan permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
"Sebagai pengeluar tunggal keluli tahan karat sejuk di Malaysia, syarikat akan menyokong industri tempatan termasuk pembinaan, automotif dan pembuatan.
"Di peringkat global, ia berhasrat untuk menembusi pasaran dengan pertumbuhan tinggi di Eropah, Amerika Syarikat dan rantau yang sedang berkembang," ujarnya.
Beliau berkata, strategi dua hala akan memastikan syarikat menyumbang kepada ekonomi Malaysia sambil mengembangkan operasi di peringkat antarabangsa.
Tan pada masa sama berkata, syarikat juga sedang mempelbagaikan portfolionya untuk merangkumi sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, peralatan perubatan dan pembuatan maju.
"Langkah strategik ini membolehkan Bahru Stainless memenuhi keperluan pasaran moden yang sentiasa berkembang sambil meningkatkan daya saingnya," katanya.
Didukung oleh AmBank Group yang membiayai 80% pengambilalihan berkenaan, kepimpinan Worldwide Stainless membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam usaha tersebut. - DagangNews.com