Yinson peroleh lanjutan kontrak 18 bulan bernilai lebih AS$36 juta bagi sewaan kapal FPSO PTSC Lam Son | DagangNews Skip to main content

Yinson peroleh lanjutan kontrak 18 bulan bernilai lebih AS$36 juta bagi sewaan kapal FPSO PTSC Lam Son

Gambar hiasan dari laman web rasmi Yinson
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis - Yinson Production menerima lanjutan 18 bulan dari 1 Januari 2025 hingga 30 Jun 2026 untuk kontrak sewaan kapal FPSO PTSC Lam Son.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak tersebut juga meliputi pelanjutan automatik selama enam bulan tambahan sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada syarat tertentu.

 

“Nilai lanjutan kontrak sewa kapal (termasuk tempoh lanjutan) adalah kira-kira AS$36.2 juta.

 

"Daripada jumlah kontrak, kira-kira AS$17.7 juta diagihkan kepada Yinson Production," katanya. 

 

FPSO PTSC Lam Son dimiliki bersama oleh Yinson Production (49%) dan PetroVietnam Technical Services Corporation (51%), melalui usaha sama PTSC Asia Pacific Pte Ltd.

 

FPSO telah beroperasi untuk PetroVietnam di Blok 1-2/97 luar pesisir Vietnam sejak 2014.

 

Mengulas mengenai pelanjutan kontrak itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengeluaran Yinson, Flemming Grønnegaard berkata, ia mencerminkan perkongsian kukuh yang dibina dengan PTSC sebagai rakan usaha sama dan keupayaannya untuk menyampaikan operasi yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

 

“Bersama PTSC, kami kekal komited untuk memacu penciptaan nilai dan kecemerlangan operasi sepanjang kitaran hayat aset ini,” katanya.

 - DagangNews.com