Teroka MajuBina lantik dua firma perunding bagi pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid bernilai RM12 bilion | DagangNews Skip to main content

Teroka MajuBina lantik dua firma perunding bagi pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid bernilai RM12 bilion

MoU ditandatangani oleh Datuk Dr Abd Radzak Abd Malek (lima dari kanan), Zulkurnain Ayub (empat dari kiri) dan Leonid Gavrilchik (tengah) yang turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (enam dari kanan).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Spartan Maritime (M) Sdn Bhd dan Royal HaskoningDHV akan menyediakan perkhidmatan perundingan kepada Teroka MajuBina Sdn Bhd untuk pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas bernilai AS$2.5 bilion (kira-kira RM12 bilion).

 

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu negara hari ini merupakan sebahagian daripada skop perniagaan Teroka MajuBina yang akan membangunkan kompleks yang terletak di Pekan, Pahang itu.

 

Teroka MajuBina kini dalam proses perancangan pembinaan Kompleks Kapal Hibrid di Tanjung Agas yang dijadualkan beroperasi pada Jun 2025.

 

Terdahulu, syarikat itu telah memeterai MoU dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 20 Oktober 2023 untuk membangunkan kompleks terbabit.

 

Naib Pengerusi Teroka MajuBina, Datuk Dr Abd Radzak Abd Malek menyifatkan kerjasama dengan Spartan Maritime dan Royal HaskoningDHV sebagai satu kemajuan yang penting dalam merealisasi dan menjayakan objektif pembangunan kompleks itu.

 

 

teroka majubina
(Dari kiri) Zulkurnain Ayub, Leonid Gavrilchik dan Datuk Dr Abd Radzak Abd Malek memeterai MoU untuk perkhidmatan perundingan di sini hari ini.

 

 

Beliau menambah bahawa khidmat nasihat daripada Royal HaskoningDHV yang merupakan firma konsultan marin memberi keyakinan kepada syarikat untuk mencapai kejayaan dalam pembangunan projek itu, sekali gus menepati matlamat.

 

“Sejak MoU pembinaan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid ditandatangani empat bulan lalu, Teroka MajuBina telah mencapai beberapa fasa kemajuan dan kejayaan. Sehubungan itu, MoU hari ini diyakini akan membantu kami melengkapkan misi besar Teroka MajuBina,” ujar beliau dalam satu kenyataan media selepas memeterai MoU hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Spartan Maritime, Zulkurnain Ayub yakin dengan kepakaran dan pengalaman meluas pihaknya dalam kajian rancangan spatial marin menggunakan pendekatan data dan sains yang diperlukan oleh Teroka MajuBina.

 

Ketua Pegawai Operasi Asia Pasifik, Leonid Gavrilchik pula menzahirkan keyakinannya terhadap kompleks tersebut yang bakal merancakkan ekonomi Malaysia.

 

“Gandingan tiga pihak ini akan membawa anjakan lebih kukuh dalam membangunkan kompleks tersebut. Kami bersedia untuk berkongsi khidmat nasihat bagi menjayakan projek ini, yang bukan sahaja memajukan Malaysia, malah ia akan membawa manfaat kepada pasaran maritim global,” katanya. - DagangNews.com