Tertangguh sekian lama, LCS berjaya diluncurkan ke air bagi pemasangan peralatan | DagangNews Skip to main content

Tertangguh sekian lama, LCS berjaya diluncurkan ke air bagi pemasangan peralatan

Kapal KD Maharaja Lela berjaya diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu untuk proses seterusnya.
Oleh Zaki Salleh

LUMUT 4 Jun – Pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menunjukkan tanda positif apabila berjaya diluncurkan ke air.

 

Kapal KD Maharaja Lela itu telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melawat projek tersebut hari ini berkata, ini merupakan perkembangan yang positif menunjuk progres projek LCS dilaksanakan.

 

Menurut beliau, fasa itu dilakukan selepas mendapat persetujuan pihak yang membuat reka bentuk, pihak yang mengawal kualiti pembinaan serta pengguna (TLDM).

 

Kapal
Mohamed Khaled (dua dari kanan) bersama delegasi semasa meninjau perkembangan pembinaan kapal LCS di Lumut pada 4 Jun 2024.

 

"Peluncuran ini bertujuan menguji kestabilan serta keutuhan kapal, jadi ia telah melalui proses itu.

 

“Kita gembira kerana ia telah menepati 'milestones' (peristiwa penting) mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Limbungan Kapal Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini hari ini.

 

Hadir sama Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Kept. Ir. Azhar Jumaat.

 

Kapal
Bahagian tiang 'mast' KD Maharaja Lela yang siap dipasang.

 

Kapal
Imbas kembali pelancaran KD Maharaja Lela pada tahun 2017 lalu.

 

Semasa lawatan tersebut beliau telah diberi taklimat tentang progres semasa pembinaan KD Maharaja Lela serta melihat kerja-kerja yang dilakukan.

 

Jelas Menteri Pertahanan, fasa seterusnya adalah pemasangan peralatan dan pelbagai persenjataan sebelum menjalani beberapa fasa ujian seterusnya.

 

Antara fasa ujian yang akan dijalankan adalah ujian pelabuhan dan ujian di laut.

 

Kapal LCS pertama dijadualkan akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026.

 

Menyentuh tentang fasa ujian, menurut Khaled, ia memakan masa panjang kerana perlu dilaksanakan dengan teliti memandangkan LCS merupakan aset pertahanan kritikal untuk negara.

 

Kapal

 

Mengenai perkembangan 4 buah kapal lain, beliau berkata, kemajuan kapal-kapal tersebut sedang dilaksanakan mengikut perancangan dan turut dibantu kepakaran tempatan.

 

Pembinaan kapal LCS2 pula sudah melebihi 60 peratus manakala LCS3 melebihi 50 peratus.

 

KD Maharaja Lela merupakan kapal pertama daripada 5 buah LCS untuk TLDM. 

 

Perolehan kapal LCS merupakan salah satu daripada tonggak utama Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM.

 

Dagang News pada 20 Mei lalu melaporkan, tiang mast LCS telah siap dipasang bermakna kapal tersebut bakal diturunkan ke air tidak lama lagi.

 

Ini merupakan bahagian terpenting pada kapal kelas Gowind kerana bahagian modul sensor itu umpama nadi dan penderia kapal.

 

Mengikut jangkaan sebelum ini LCS pertama akan diturunkan ke permukaan air pada pertengahan tahun ini iaitu pada Mei atau Jun. - DagangNews.com