Thailand tambah pesawat tempur JAS 39 Gripen setelah gagal miliki F-35 | DagangNews Skip to main content

Thailand tambah pesawat tempur JAS 39 Gripen setelah gagal miliki F-35

Perolehan tambahan pesawat JAS-39 Gripen sangat diperlukan Thailand.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Jun - Selepas Malaysia dan Indonesia, Thailand pula bakal memperoleh pesawat tempur baharu untuk mengimbangi keperluan tentera udara negara tersebut.

 

Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) merancang untuk mendapatkan tiga buah pesawat JAS 39 Gripen buatan Saab Sweden sebagai tambahan bagi perolehan sebelumnya.

 

Thailand memiliki 12 pesawat JAS 39C/D Gripen sejak 2011, tetapi sebuah daripadanya musnah dalam nahas udara tiga tahun lalu.

 

Melengkapi perolehanan Gripen untuk RTAF masa itu ialah sebuah pesawat radar amaran awal Saab 340 Erieye.

 

Skuadron pesawat Gripen ini beroperasi di Pangkalan Udara Surat Thani.

 

Sebuah pesawat JAS 39D Gripen RTAF dan Saab 340 Erieye.
Sebuah pesawat JAS 39D Gripen RTAF dan Saab 340 Erieye.

 

Malaysia pada bulan lalu memeterai kontrak pembelian 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) FA-50 Block 20 Eagle dari Korea Selatan yang akan diterima tiga tahun lagi.

 

Rancangan seterusnya ialah untuk menambah perolehan kepada 18 buah pesawat lagi bagi melengkapkan 36 buah semuanya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

Firma Saab turut bersaing untuk menawarkan pesawat Gripen kepada Malaysia bermula dengan progam penggantian MiG-29N sebelum mencuba peluang dalam program LCA.

 

Negara jiran Indonesia pula memutuskan untuk memperoleh 12 pesawat tempur terpakai jenis Dassault Mirage 2000-5 kepunyaan Qatar bagi mengimbangi kekuatan tentera udaranya.

 

Malaysia memilih pesawat FA-50 Block 20 Eagle.
Malaysia memilih pesawat FA-50 Block 20 Eagle.

 

Penghantaran pesawat-pesawat ini akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Perancis yang merupakan pengeluar asal pesawat tersebut.

 

Perolehan bernilai AS$792 juta itu sedang dirundingkan antara Kementerian Pertahanan Indonesia, pihak Qatar dan Défense Conseil International.

 

Pesawat terpakai berusia 26 tahun ini akan diterima dalam tempoh setahun.

 

Indonesia pada masa sama bakal memperoleh enam buah pesawat tempur baharu Dassault Rafale yang dimeterai tahun lalu.

 

Keputusan Thailand menambah tiga pesawat Gripen ini dibuat selepas tawaran untuk membeli pesawat generasi kelima F-35 Lighting II dari Amerika Syarikat (AS) ditolak.

 

Hasrat Thailand untuk memiliki pesawat generasi kelima F-35 Lighting II ditolak AS.
Hasrat Thailand untuk memiliki pesawat generasi kelima F-35 Lighting tidak kesampaian.

 

Pesawat F-15EX Eagle II.
Pesawat F-15EX Eagle II.

 

AS dikatakan tidak dapat meluluskan penjualan pesawat berkenaan kepada Thailand atas beberapa faktor termasuk latihan dan keperluan teknikal.

 

Dengan ciri-ciri halimunan dan teknologi mutakhir yang ada pada pesawat itu, AS juga menetapkan penjualan F-35 Lighting II sebagai aset sensitif dan hanya dibenarkan pada negara sekutu rapat.

 

Dalam rantau Asia Pasifik, ketika ini hanya Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura dibenarkan memperoleh pesawat ini.

 

Pada sudut lain pula, F-35 merupakan pesawat tempur mewah yang mana kos operasinya jauh lebih tinggi berbanding pesawat tempur konvensional.

 

Thailand sebelum ini merancang untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusia sedia ada seperti F-5 dan F-16.

 

Flet pesawat JAS-39C/D Gripen RTAF.
Flet pesawat JAS-39C/D Gripen RTAF

 

Jika melihat pada nisbah pesawat tempur yang dimiliki, keupayaan RTAF adalah ketinggalan berbanding negara serantau lain walaupun jumlah pesawat yang dimiliki banyak.

 

Sejak dua tahun lalu, negara itu telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan sekurang-kurangnya lapan pesawat F-35 Lighting II dalam usaha memodenkan angkata udaranya.

 

Walaupun tawaran Thailand ini ditolak tetapi AS memberi jaminan untuk meneliti semula cadangan perolehan itu dalam tempoh 10 tahun lagi iaitu apabila negara tersebut benar-benar bersedia untuk mengendalikan pesawat berteknologi tinggi.

 

Bagaimana pun, AS memberikan alternatif kepada Thailand untuk memperoleh pesawat F-16 Viper Block 70 dan F-15EX Eagle II.

 

Kedua-duanya merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 yang memiliki teknologi termaju dan jika dipersetujui, perolehan ini akan melonjakkan kuasa udara Thailand.

 

RTAF perlu menggantikan pesawat F-16 yang berusia lebih 30 tahun.
RTAF perlu menggantikan pesawat F-16 yang berusia lebih 30 tahun.

 

Cumanya, keperluan yang mendesak RTAF ketika ini adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat F-16 dan F-5 yang berusia lebih 30 tahun.

 

Keengganan AS menjual pesawat F-35 pula membuka peluang pada Sweden yang sudah pasti amat senang sekiranya Thailand menambah bilangan pesawat Gripen.

 

Potensi semestinya untuk menawarkan pesawat JAS 39E Gripen yang merupakan versi terkini.

 

Sweden juga boleh menawarkan pesawat JAS 39C/D Gripen terpakai bekas kepunyaan tentera udara negara itu kepada Thailand yang mana kos perolehannya lebih rendah. - DagangNews.com