KUALA LUMPUR 7 Mac - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3 peratus.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.
"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bank Negara berkata, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan domestik berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.
Katanya, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan.
"Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah.
"Perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik," katanya.
Bank Pusat itu berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata.
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 2024 didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.
"Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan.
{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7343541415344884999.jpg?itok=DbHP_OO-","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7343541415344884999?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7239999029697168898","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}
"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar," kata Bank Negara.
Sementara itu, inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.
Bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. - DagangNews.com