Tiguan Allspace bermula pada harga RM164,430 | DagangNews Skip to main content

Tiguan Allspace bermula pada harga RM164,430

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan rangkaian model Tiguan Allspace serba baharu, sebuah SUV menarik yang dijangka memberi impak besar dalam segmen SUV tempatan. Dua varian ditawarkan: Tiguan Allspace Highline 1.4TSI dan Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI. Kedua-duanya dipasang tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

Varian Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line didatangkan dalam warna biru (Blue Silk), putih (Pure White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan putih (Pyrite Silver).

Tiguan Allspace Highline serba baharu ditawarkan pada harga RM169,990 dan Tiguan Allspace R-Line berharga RM213,490. Dengan adanya pengecualian cukai, kedua-dua varian tersebut ditawarkan pada harga cadangan RM164,430.75 dan RM208,553.79 sehingga 31 Disember 2020. Pemilik akan menikmati penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

 

vw


Allspace merupakan versi Tiguan dengan tapak roda lebih panjang dan tampil dengan rekaan hadapan serta belakang yang tersendiri. Bahagian luarannya diserlahkan menerusi posisi bonet yang lebih tinggi, bersama garisan tajam pada bonet dan bampar, sekali gus memberikannya penampilan yang garang.

Tiguan Allspace dengan tapak roda lebih panjang menjadikannya sebuah SUV yang benar-benar luas. Seterusnya dapat menawarkan versatiliti menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya, ia mampu menawarkan ruang seluas 700 liter. Jika tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat, SUV berkenaan memberikan ruang yang sangat luas iaitu 1,775 liter, terbaik dalam kelasnya.

Tiguan Allspace Highline menggabungkan enjin turbo pancitan terus 1.4TSI dengan kotak gear klac basah direct shift 6-kelajuan (DSG). Ia mampu menjana kuasa 150PS dan kuasa kilas 250Nm. SUV ini juga menawarkan penggunaan bahan api sekitar 7.3l/100km.

SUV tujuh tempat duduk itu menggabungkan prestasi dinamik, pengalaman off-road sebenar dan mengetengahkan DNA SUV Volkswagen yang baru, menjadikannya cukup versatil serta menarik perhatian.

Berpegang teguh kepada legasi R-Line, Tiguan Allspace R-Line ialah sebuah SUV berprestasi tinggi. Penampilan agresifnya di atas jalan biasa dan off-road diserlahkan dengan rim aloi Sebring bersaiz 19”.  Ia juga menawarkan kuasa dan tork paling tinggi dalam kelasnya. Keupayannya dipertingkatkan lagi dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

Bahagian dalaman  tidak kurang menariknya dengan ciri ketersambungan terbaik seperti Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro infotainment 9.2”.

Varian Volkswagen R-Line mengambil inspirasi daripada rangkaian model breprestasi tinggi Volkswagen R. Pakej gayaan sporty yang dipasang pada varian R-Line membuatkannya kelihatan lebih sporty, pada masa sama mengekalkan nilai yang hebat.
 

vc


Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, pasaran SUV yang kian berkembang di Malaysia menawarkan peluang terbaik kepada Tiguan Allspace.

“Pasaran SUV di Malaysia telah berkembang sebanyak 65% dan kami percaya ia akan terus memacu pasaran automotif. Dengan penambahan dua varian Tiguan Allspace, Volkswagen akan dapat memenuhi keperluan pembeli yang berbeza apabila menawarkan mereka dengan pilihan jentera 7 tempat duduk bersama kualiti kejuruteraan Jerman serta prestasi yang tiada tandingan,” katanya.

Sebagai model terlaris Volkswagen di peringkat global, Tiguan mencatat rekod apabila mencapai jualan 6 juta unit pada 2019. Ia juga menjadi model paling laris untuk kumpulan Volkswagen untuk tahun yang sama. Kini, model serba baharu Tiguan keluar daripada saluran pengeluaran di seluruh dunia pada setiap 35 saat. - DagangNews.com
 

astro