TikTok pacu Shoppertainment untuk peniaga Malaysia semasa Jualan Mega 2024 | DagangNews Skip to main content

TikTok pacu Shoppertainment untuk peniaga Malaysia semasa Jualan Mega 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Ogos - TikTok memacu penyelesaian pemasaran digital "shoppertainment" yang membolehkan ahli peniaga menarik audiens membeli produknya melalui kandungan hiburan dan pendidikan semasa Mega Sales Event 2024. 

 

Menurut Tik Tok, pendekatan itu seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, syarikat itu berhasrat untuk membantu perniagaan dengan menyediakan pendekatan digital yang tepat dan platform untuk "shoppertainment". 

 

"Shoppertainment akan membolehkan peniaga mencari pengguna sasaran dengan pendekatan yang betul dan membekalkan mereka dengan maklumat produk yang mereka tuntut," ujar TikTok dalam kenyataan hari ini. 

 

Di samping itu, acara tersebut melibatkan lebih daripada 200 peserta dari 67 jenama termasuk pemimpin industri dari sektor makanan dan minuman (F&B), kecantikan, telekomunikasi, kesihatan, serta TikTok Shop Partners dan penjual yang berminat untuk menembusi cara tradisional dalam mencapai pembeli sasaran mereka.

 

Semasa acara tersebut, TikTok berkongsikan pandangan dan statistik dengan peserta mengenai sifat pengguna TikTok semasa musim jualan berganda di Malaysia dan bagaimana perniagaan boleh mencapai pembeli ideal mereka pada musim jualan yang akan datang. 

 

Katanya, sebanyak 50% pengguna TikTok menonton kandungan dan membeli-belah di platform pada masa yang sama,manakala 89% pengguna membeli-belah semasa Acara Jualan Mega tahun lepas seperti Jualan 11.11, Jualan 12.12 dan Jualan Perayaan. 

 

"Pembeli berbelanja tinggi membelanjakan purata AS$265 (sekitar RM1,100) pada setiap acara jualan pada akhir tahun, membawa kepada pertumbuhan hampir enam kali ganda," ulas Tik Tok. 

 

Selain itu, TikTok turut berkongsi strategi PACE dan menggalakkan lebih banyak perniagaan Malaysia menggunakannya bagi memaksimumkan potensi setiap perniagaan. 

 

"Strategi tersebut merangkumi persona yang mentakrifkan pelbagai kandungan dan strategi pemerkasaan. Selain itu, pelbagaikan susun campuran produk yang optimum bagi memacu nilai pesanan purata (AOV) dan meningkatkan trafik. Seterusnya, kandungan komprehensif untuk menarik audiens membeli produk. Akhir sekali, pemerkasaan yang berhubung dengan pertumbuhan mampan melalui pengiklanan, pemasaran dan model operasi yang betul," ujarnya.

 

Ketua Perkongsian TikTok Negara Singapura, Malaysia, Indonesia, Delilah Chan berkata e-dagang di Malaysia merupakan pemangkin yang semakin penting bagi ekonomi, mewujudkan peluang baharu kepada penjual dalam semua bentuk dan saiz, termasuk cara baharu dan menarik pembeli untuk membeli-belah. 

 

"Pertumbuhan luar biasa dalam e-dagang ini secara radikal mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah dan menjalankan perniagaan, kami komited untuk menyediakan perniagaan dengan alat yang boleh membantu mereka menyusun strategi dan mengubah pendekatan mereka bagi mencapai khalayak sasaran mereka," ujar beliau.- DagangNews.com