Tindakan 12 menteri utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong jejas keharmonian dalam Kabinet - PM | DagangNews Skip to main content

Tindakan 12 menteri utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong jejas keharmonian dalam Kabinet - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Tindakan seramai 12 menteri yang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjejaskan keharmonian dalam Kabinet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, tindakan menteri-menteri itu jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

 

Beliau berkata, bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan. 

 

Malah tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan, katanya.

 

"Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Perdana Menteri berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan media Istana Negara pada 10 Oktober 2022 yang menyatakan Agong menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air. 

 

"Seperti yang saya jelaskan dalam perutusan khas semalam, pembubaran Parlimen ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

 

"Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

 

Katanya, kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia. 

 

"Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang," katanya. - DagangNews.com