Tindakan lebih proaktif perlu diambil oleh kerajaan bagi membanteras ‘Job Scam’ ke atas pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Tindakan lebih proaktif perlu diambil oleh kerajaan bagi membanteras ‘Job Scam’ ke atas pekerja asing

Oleh Shahrizal Mizani

BARU-BARU ini tular kisah lebih dari 100 pekerja Bangladesh dilaporkan hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan akibat tindakan eksploitasi oleh majikan, yang bertempat di Cheras, Kuala Lumpur.

 

Hal sedemikian dilaporkan berlaku susulan pekerja-pekerja asing ini gagal mendapatkan pekerjaan yang dijanjikan selama lebih dari tiga bulan.

 

Aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall, melaporkan bahwa 104 pekerja asing tersebut, yang tiba di Malaysia pada November tahun lepas, telah ditipu oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras.

 

Tambahan lagi, mereka dilaporkan telah diminta membayar yuran pengambilan kerja  yang tidak masuk akal, iaitu antara RM19,500 dan RM21,700. Mereka dijanjikan pekerjaan dengan bayaran yang lumayan, serta dijanjikan penginapan yang baik sepanjang tempoh bekerja.

 

Malangnya, janji-janji dan tawaran tersebut hanyalah tipu helah semata-mata oleh pihak majikan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan ini.

 

Pada 26 Februari 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui  kenyataan media menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat Pembinaan Ricoler Sdn Bhd kerana mengabaikan  pekerja- pekerja asing warga Bangladesh yang dibawa masuk pada November 2023.

 

Meskipun kementerian terbabit telah menjamin bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan tersebut, persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat ialah bagaimana gejala ini masih berleluasa meskipun terdapat pelbagai undang-undang berkaitan eksploitasi pekerja asing?

 

 

parafrasa

 

 

Adakah kerajaan sudah mengambil tindakan efisien dan proaktif dalam mencegah dan membanteras eksploitasi dan penyeludupan tenaga kerja asing ke Malaysia?

 

Mengapa kementerian hanya mengetahui kejadian eksploitasi sedemikian setelah kejadian tersebut menjadi tular sahaja?

 

Apakah jaminan Kementerian bahawa kejadian sedemikian rupa tidak akan berulang pada masa akan datang?

 

Berdasarkan pemerhatian di sosial media, masyarakat Malaysia secara umumnya menimbulkan kegusaran dan kebimbangan terhadap gejala ‘job scam’ terhadap pekerja asing yang dilihat kian berleluasa.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa undang-undang Malaysia melindungi hak-hak pekerja migran ini, namun adakah pelaksanaannya dijalankan secara efisien?

 

Walau bagaimanapun, masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting dalam membanteras gejala ‘job scam’ ini, sama ada di dalam mahu pun luar negara.

 

Bak kata pepatah, bingung makanan si cerdik, orang tidur makanan si jaga. Masyarakat perlulah sedar dan terdidik akan kesan gejala ‘job scam’ serta seharusnya mengetahui ciri-ciri ‘job scam’ agar mereka juga tidak terjerumus dan terlibat dalam gejala tidak berperikemanusiaan ini.

 

 

parafrasa

 

 

Sekiranya masyarakat mengesan ciri-ciri ‘job scam’ dalam suatu pekerjaan, masyarakat seharusnya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa agar tindakan susulan dapat diambil.

 

Masyarakat juga seharusnya tidak memandang rendah pekerja migran yang datang ke negara kita.

 

Kesimpulannya, tindakan eksploitasi terhadap pekerja asing, seperti kejadian yang tular baru-baru ini, menuntut tindakan yang lebih proaktif daripada pihak kerajaan.

 

Walaupun tindakan tegas diambil terhadap syarikat terbabit, kebimbangan masyarakat mengenai keberkesanan undang-undang dan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan tetap relevan.

 

Isu ‘job scam’ terhadap pekerja asing semakin membimbangkan masyarakat, dan penglibatan masyarakat dalam memahami serta melaporkan tindakan mencurigakan adalah penting dalam memerangi gejala ini.

 

Jelaslah bahawa keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat adalah kunci utama untuk mencegah eksploitasi pekerja asing dan memastikan hak mereka dilindungi dengan sewajarnya.  - DagangNews.com

 

 
Shahrizal Mizani adalah ahli Tunku Scholar, dan Pengarah bagi projek ‘Workers Unmuted’ yang mengetengahkan advokasi dan pendidikan hak pekerja di Malaysia.