Tiong Nam, Saito UC tawar biasiswa lahirkan profesional dalam bidang logistik | DagangNews Skip to main content

Tiong Nam, Saito UC tawar biasiswa lahirkan profesional dalam bidang logistik

KUALA LUMPUR 22 Jun - Tiong Nam Logistics Holdings Bhd. dan Saito University College (UC) bekerjasama menawarkan Biasiswa Logistik kepada pelajar yang layak dalam usaha melahirkan profesional dalam bidang logistik.

 

Pengumuman itu dibuat berikutan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak yang telah wujud sejak 1988.

 

Naib Canselor Saito UC, Dr Vinitha Guptan berkata, kerjasama dengan Tiong Nam itu bertujuan untuk melahirkan pakar logistik kerana kekurangan individu berbakat dalam industri tersebut yang boleh memacu industri ke peringkat seterusnya dalam era revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0).

 

"Ini sejajar dengan visi Saito UC untuk menyediakan peluang pembelajaran kepada pelajar bagi membolehkan mereka membuat perubahan positif kepada kehidupan dan komuniti dan memastikan kebolehpasaran dalam industri logistik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

tiong nam
Majlis menandatangani memorandum perjanjian yang diwakili Pengarah Eksekutif Tiong Nam, Victor Ong (empat dari kiri) dan Naib Canselor Saito UC, Dr Vinitha Guptan (lima dari kiri), hari ini.

 

 

Antara kerjasama yang dimeterai termasuk tawaran 2 biasiswa penuh logistik Tiong Nam, 5 biasiswa penuh Saito UC, yang mana biasiswa Tiong Nam akan diberikan kepada pelajar dengan latar belakang kewangan yang layak dan 5 untuk Program Biasiswa Logistik Profesional.

 

Calon-calon akan menjalani program yang dibangunkan khas yang akan memberi mereka pandangan kepada perkembangan masa depan dalam logistik dan mendaftar untuk kelayakan profesional CILT.

 

Mereka juga akan memperoleh peluang untuk menggunakan teknologi kecerdasan pintar (AI) dan mudah alih yang digunakan Tiong Nam ketika ini dalam era IR4.0 dan pendigitalan.

 

Selain itu, biasiswa penuh dan separa ini juga terbuka kepada semua anak, keluarga dan pelanggan pekerja Tiong Nam untuk kursus perniagaan dan logistik.

Dalam pada itu, Tiong Nam berharap kerjasama itu dapat menggalakkan lebih banyak pelajar menerokai industri logistik kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah.

"Industri logistik sedang berubah, dan ia akan terus berubah pada kadar yang lebih pantas dengan adanya kemajuan teknologi. 

"Oleh itu, adalah penting untuk kita melabur untuk masa depan supaya industri logistik dapat terus berkembang dan maju, dan Tiong Nam boleh terus menjadi pemain industri terkemuka," katanya. - DagangNews.com