TLDM beroperasi dengan 26 kapal melepasi usia guna - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

TLDM beroperasi dengan 26 kapal melepasi usia guna - Laporan Ketua Audit Negara

Analisis audit terhadap Laporan Kesiagaan bagi 49 kapal pada 31 Disember 2022, mendapati 39 kapal berkeupayaan untuk beroperasi, dua kapal tidak boleh beroperasi - LKAN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga 31 Disember 2022 adalah rendah, berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

 

Jumlah perolehan itu jauh lebih rendah berikutan hanya empat kapal diterima atau 22.2 peratus dengan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan enam kapal tempur pesisir (LCS), 10 Kapal Misi Pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Menurut Jabatan Audit Negara, prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM tidak memuaskan berikutan tidak dilaksanakan mengikut perancangan sekali gus boleh menjejaskan sasaran pegangan kapal di bawah Program Transformasi TLDM #15to5.

 

 

"Sekurang-kurangnya 70 peratus kesiapsiagaan kapal perlu dicapai berdasarkan penetapan dalam Buku Panduan Kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengkehendaki armada perlu sentiasa berada dalam keadaan beroperasi dan siap sedia sama ada dalam keadaan aman atau menghadapi sebarang kemungkinan atau konflik.

 

"Kategori kesiagaan mengikut keupayaan kapal TLDM adalah berlandaskan konsep Operational Availability (OA)," menurut laporan Berita Harian memetik LKAN.

 

"Selain itu, analisis audit terhadap Laporan Kesiagaan bagi 49 kapal pada 31 Disember 2022, mendapati 39 kapal berkeupayaan untuk beroperasi, dua kapal tidak boleh beroperasi, manakala lapan kapal sedang disenggara yang mana tahap kesiapsiagaannya 91.5 peratus," katanya.

 

 

parafrasa

 

 

Isu itu terkandung dalam LKAN 2/2024 Mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan, iaitu satu daripada dua naskah laporan diterbitkan Jabatan Audit Negara.

 

Laporan berkenaan mengandungi sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program, projek dan aktiviti diaudit berjumlah RM41.970 bilion daripada skop pengauditan yang meliputi projek dilaksanakan dalam tempoh RMK9 hingga RMK12.

 

Sehubungan itu, audit itu mengesyorkan Kementerian Pertahanan dan TLDM perlu memastikan Program Transformasi TLDM #15to5 di bawah RMK12 dan seterusnya dilaksanakan mengikut perancangan supaya sasaran pegangan kapal menjelang 2050 dicapai.

 

Selain itu, TLDM perlu memastikan penyenggaraan kapal dilaksanakan mengikut jadual dengan keperluan sumber kewangan mencukupi supaya asetnya itu sentiasa berada dalam tahap kesiagaan ditetapkan.

 

TLDM juga dikehendaki menyediakan pelan tindakan terhadap stok alat ganti yang tidak digunakan supaya dapat dimanfaatkan sewajarnya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

 

Dalam pada itu, maklum balas Kementerian Pertahanan yang diterima pada 22 Ogos 2023, memaklumkan TLDM bersetuju dengan analisis yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara.

 

Dalam pada itu, isu pencapaian pelaksanaan operasi selesai, susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Ogos 2005 memutuskan supaya semua agensi keselamatan negara melaksana dan meningkatkan aktiviti yang mampu memartabatkan kedaulatan wilayah maritim negara terutama di kawasan yang turut dituntut oleh negara jiran.

 

Berdasarkan keputusan mesyuarat itu, TLDM sudah melaksanakan tiga operasi iaitu Operasi Tunggal, Operasi Berkala dan Operasi Gabungan yang dilaksanakan mengikut kekerapan yang ditetapkan.

 

 

tldm

 

 

Selain itu, Operasi Tunggal dilaksanakan secara berterusan dengan pemantauan 24 jam setiap hari selama tujuh hari seminggu (24/7) di Kawasan Operasi Maritim, manakala Operasi Berkala dilaksanakan mengikut kekerapan ditetapkan atau secara 'opportunity basis' manakala Operasi Gabungan bertujuan menghindari anasir luar membabitkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Dalam perkembangan lain, isu penggunaan kapal melebihi usia guna selesai melalui Perintah Am Angkatan Tentera Bilangan 1/2004 berhubung Dasar Kasting.

 

Dasar itu ditakrifkan sebagai tindakan penetapan jangka hayat penggunaan sesuatu jenis peralatan kapital hingga penamatannya daripada perkhidmatan termasuk tindakan penggantian terhadap peralatan yang dilupuskan.

 

Untuk itu, pertimbangan melaksanakan kasting terhadap peralatan kapital ATM, antara lain perlu memenuhi faktor melebihi Had Umur Ekonomik (24 dan 30 tahun mengikut jenis kapal).

 

Seterusnya, semakan audit mendapati 26 kapal atau 53.1 peratus daripada keseluruhan 49 kapal melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun dan masih digunakan untuk tujuan operasi.

 

 

tldm

 

 

Bagi isu penyelenggaraan program pasang pulih (refit) tidak mengikut GMASB dalam tindakan susulan semakan audit mendapati maklumat penyenggaraan kapal daripada Bahagian Kejuruteraan bagi 10 sampel kapal mendapati enam daripadanya tidak dilaksanakan Penyenggaraan Berjadual Pasang Pulih (refit) mengikut tempoh ditetapkan.

 

Status dalam tindakan juga didapati penyelenggaraan kapal iaitu Obsolescence Program (OP) bagi memanjangkan usia kapal; bagi pengurusan alat ganti mendapati peralatan bernilai RM384.49 juta di Depot Bekalan Armada Barat (DBAB) dan Depot Bekalan Armada Timur (DBAT) tidak digunakan. - DagangNews.com