KUALA LUMPUR 6 Sept - Rancangan untuk membeli helikopter antipeperangan kapal selam (ASW) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) positif apabila permohonan untuk membuat pembelian itu dikemukakan.
Laman pertahanan Defence Security Asia dipetik melaporkan bahawa TLDM telah mengemukakan permohonan 'Request For Proposal' (RFP) untuk membeli 6 buah helikopter tersebut.
Bagaimana pun, jenis dan buatan helikopter tidak dinyatakan kerana RFP adalah langkah pertama sebelum proses seterusnya dilakukan.
TLDM merancang menggantikan 6 buah helikopter Super Lynx yang digunakan lebih 20 tahun lalu dengan 4 buah masih beroperasi.
Baki 2 helikopter diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan logistik pesawat.
Malaysia merupakan pengguna luar negara pertama helikopter Super Lynx apabila kerajaan pada 1999 bersetuju membeli pesawat tersebut yang diterima 4 tahun kemudian.
Sebelum ini, mantan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob mengesahkan bahawa helikopter Super Lynx itu akan digantikan.
Helikopter Super Lynx merupakan penukul hadapan dalam armada TLDM kerana keupayaan melancarkan serangan ke atas kapal selam musuh.
Helikopter ini juga menjadi kuasa udara kepada TLDM apabila membantu kapal-kapal perang dalam operasi permukaan.
Penggunaan Super Lynx membuka dimensi baharu TLDM apabila buat pertama kalinya mempunyai helikopter tempur yang disepadukan dengan pengoperasian kapal frigat kelas Lekiu dan korvet kelas Laksamana.
Justeru, permohonan RFP bagi merancang pembelian helikopter ASW ini adalah relevan dengan apa yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef).
Mindef dijangka membelanjakan kira-kira RM10 bilion bagi melaksanakan perolehan aset baharu TLDM bagi pemodenan armada dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk membeli helikopter ASW.
Termasuk dalam rancangan pembelian ini ialah baki 3 buah kapal misi pesisir (LMS), 2 buah kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) dan 6 buah pesawat udara tanpa pemandu (UAV).
RMK-13 yang bermula 2 tahun lagi, bermakna pembelian akan dibuat dalam tempoh tersebut atau selepas 2030.
Mengikut perancangan, TLDM akan menerima 3 kapal LMS Batch 2 buatan Turkiye yang berasaskan rekaan korvet kelas Ada secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2027.
Bagi kapal tempur pesisir (LCS) kelas Maharaja Lela pula, kapal pertama dijangka diterima pada 2026 manakala empat kapal seterusnya dalam jangkamasa berselang setahun setiap buah.
Kapal LMS Batch 2 dan LCS masing-masing mempunyai keupayaan melancarkan misi ASW dan mempunyai geladak pendaratan helikopter.
Justeru, rancangan untuk mendapatkan helikopter ASW baharu perlulah dibuat daripada sekarang agar apabila pesawat ditempah, penerimaannya serentak dengan kapal-kapal perang baharu TLDM.
Berdasarkan pengalaman dan kemahiran TLDM mengoperasikan helikopter Super Lynx, besar kemungkinan pesawat pengganti kelak adalah yang mempunyai ciri-ciri sama.
Helikopter Super Lynx yang asalnya dibina oleh firma Westland Helicopters kini mempunyai varian terbaharu iaitu AW159 Wildcat yang dibangunkan syarikat Leonardo, Itali.
AW159 Wildcat boleh diperanan sebagai helikopter utiliti, operasi mencari dan menyelamat, tinjauan udara, ASW, peperangan permukaan dan kawalan pemerintahan.
Ketika ini helikopter AW159 Wildcat telah digunakan 3 pasukan tentera laut iaitu Britain, Filipina dan Korea Selatan.
Pada 2018, pihak Leonardo telah menerbangkan helikopter AW159 Wildcat ke Pangkalan TLDM Lumut bagi tujuan demontrasi dan mempamerkan keupayaan pesawat kepada TLDM. - DagangNews.com