TM ONE perkenal slogan, rekaan laman web baharu | DagangNews Skip to main content

TM ONE perkenal slogan, rekaan laman web baharu

TM ONE perkenal slogan, rekaan laman web baharu

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR  4 Mac. - Unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam bagi Telekom Malaysia Berhad (TM), TM ONE memperkenalkan slogan jenama baharu iaitu  'Menerajui transformasi masa hadapan'.

 

Slogan tersebut menggambarkan komitmen jitu unit perniagaan itu sebagai pemacu utama transformasi digital untuk perusahaan dan sektor awam di Malaysia.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Taufek Omar berkata, seiring dengan slogan baharu itu, TM ONE turut memperlihatkan laman web yang telah diubah dengan rekaan baharu untuk mencerminkan keupayaan dan ciri-cirinya yang telah dinaik taraf.

 

"“Kami amat teruja dengan slogan baharu ini kerana ia menggambarkan dengan lebih jelas peranan kami dalam memacu transformasi digital para pelanggan kami yang meliputi pelbagai vertikal ke hadapan menerusi himpunan komprehensif penyelesaian digital kami yang tercanggih dan inovatif. 

 

"Bagi melengkapi slogan baharu ini, kami menyuntik pengubahsuaian ketara kepada laman web kami dengan navigasi intuitif dan pelbagai kandungan yang disesuaikan untuk industri yang berbeza. 

 

"Ia mewakili peluang pertumbuhan yang meluas yang boleh dicapai oleh perniagaan dan sektor awam di Malaysia, dengan memanfaatkan penawaran digital yang kami tawarkan, merangkumi Awan, Perkhidmatan Pintar, Keselamatan Siber, Internet Kebendaan (IoT), mobiliti, analitik data, Kecerdasan Buatan (AI) dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Laman web baharu itu mempunyai antara muka (interface) yang dipertingkatkan dengan rekaan yang kemas dan moden, membawakan kandungan yang lebih peribadi dan menyeluruh, termasuklah akses yang lengkap kepada penawaran digital TM ONE dalam bentuk yang lebih menarik. 

 

Rekaan laman web serba baharu itu menampilkan ciri penting seperti kandungan Realiti Maya (VR) yang interaktif.

 

Beliau berkata, ciri-ciri termaju yang lain termasuklah web VR 360o yang membolehkan pelanggan untuk menikmati lawatan secara maya ke Pusat Data Lembah Klang (KVDC), dan Pusat Pengalaman TM ONE yang akan diwujudkan.

 

Katanya, laman web tersebut turut menampilkan gambaran menyeluruh TM ONE Cloud α (Cloud Alpha), serta maklumat berkenaan peralihan awan TM ONE dan pengalaman penyelesaian pintar.

 

Dalam pada itu, pengalaman keselamatan siber secara maya menggambarkan beberapa senario keselamatan siber secara menyeluruh di dalam Pusat Operasi Bersepadu (Integrated Operations Centre – IOC).

 

Ujar beliau lagi, pelawat akan turut dapat menikmati ciri-ciri yang lebih peribadi, memberikan mereka kandungan unik yang bersesuaian dengan perniagaan dan industri mereka. 

 

"Ini akan memberi mereka panduan kepada penawaran produk dan cadangan penyelesaian yang paling sesuai, lantas mewujudkan pengalaman melayari laman web yang lebih lancar kepada sesiapa yang berkunjung ke laman web kami.

 

"Laman web ini akan menjadi hab kandungan dan sumber rujukan utama utama untuk pelanggan kami ke arah memacu perjalanan transformasi digital mereka ke hadapan. Ini amat menepati peranan kami sebagai sebahagian daripada Kumpulan TM yang merupakan penggerak Digital Malaysia,” katanya. - DagangNews.com