ARIA PUTERA ISMAIL (kiri) bertukar-tukar dokumen MoU dengan Ahmad Taufek Omar (kanan).
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Cabang penyelesaian perniagaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM), TM ONE dengan kerjasama Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) bakal menawarkan pembiayaan teknologi kepada pelanggan-pelanggan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pembiayaan berkenaan dilaksanakan menerusi sebuah dana yang diwujudkan oleh SME Bank dan Kementerian Kewangan iaitu SME Technology Transformation Fund (STTF) bagi menawarkan bantuan kewangan sehingga RM3 juta kepada PKS tempatan.
Kerjasama itu dimeterai menerusi sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, bertujuan memacu perniagaan dan transformasi digital PKS.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar dan SME Bank diwakili oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Aria Putera Ismail.
Mengulas mengenai kolaborasi tersebut, Ahmad Taufek berkata, kerjasama itu merupakan sokongan kepada usaha kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif utama untuk membantu PKS semasa pandemik COVID-19.
“Matlamat kami adalah untuk membantu PKS dalam mendepani cabaran dan pelbagai masalah perniagaan yang mereka hadapi ketika ini dengan penyelesaian digital yang ada.
“Kami telah menyediakan pasukan dan penyelesaian khusus untuk membolehkan para pelanggan kami merealisasikan potensi peluang digital mereka sepenuhnya.
“Perkhidmatan-perkhidmatan profesional kami merupakan pendekatan bersifat rundingan dalam membantu PKS memahami bagaimana cara untuk merancang transformasi digital mereka berdasarkan keperluan perniagaan mereka yang unik,” kata Ahmad Taufek dalam satu kenyataan hari ini.
STTF boleh digunakan untuk membiayai pembelian penyelesaian dan perkhidmatan IT, perkhidmatan sokongan teknologi, perkakasan dan perisian komputer, peralatan dan/atau mesin serta aset tidak ketara yang lain, untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
PKS yang memenuhi definisi seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (NESDC) layak untuk memohon STTF berkenaan.
Penyelesaian-penyelesaian TM ONE bertujuan membantu PKS mencapai tahap produktiviti yang lebih tinggi, pengurusan kos dan kecekapan yang lebih baik untuk penembusan pasaran yang lebih luas melalui penggunaan digitalisasi dan automasi.
Sebagai pemacu digital bagi pelanggan perusahaan dan sektor awam dengan sambungan bertaraf perusahaan dan penawaran perkhidmatan awan yang menyeluruh, TM ONE berada pada kedudukan yang baik untuk mewujudkan ekosistem bagi masyarakat, perniagaan dan kerajaan digital.
Sementara itu, kata Aria, dengan peruntukan dana sehingga RM500 juta, STTF dijangka dapat memberi bantuan secara langsung kepada usahawan PKS untuk mencapai tahap produktiviti yang lebih tinggi, kecekapan proses, pengurusan kos yang efisien dan tahap penembusan pasaran yang lebih tinggi.
“Setakat 11 November 2020, SME Bank telah meluluskan 18 pemohonan bernilai RM36.55 juta di bawah dana STTF ini.
“Peranan SME Bank dalam mendorong PKS untuk mengadaptasi teknologi digital diperkukuhkan lagi dengan pengenalan ODELA, iaitu platform e-dagang sehenti pertama yang disokong oleh Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), yang membolehkan para usahawan B2B melakukan transaksi dan menjalin kerjasama dalam ekosistem yang meluas.
“Pendekatan Bank yang menyeluruh dalam menyediakan bantuan kewangan dan pembangunan usahawan meningkatkan lagi nilai dan memacu pembangunan ekonomi digital lantas menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh yang mencabar ini,” ujar Aria. - DagangNews.com