KUALA LUMPUR 15 Okt. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) memaklumkan pihaknya sudah mula memindahkan pelanggan unifi ke IP peribadi bagi membolehkan sambungan yang lebih lancar dan keselamatan yang lebih terjamin.
Langkah ini diambil susulan peningkatan ketara penggunaan internet, Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) di seluruh dunia berdepan dengan kekurangan alamat IPv4.
Dalam kenyataan, TM berkata, peralihan ini akan melibatkan pelanggan unifi yang melanggan pakej unifi 30Mbps, 50Mbps dan 100Mbps dan kini menggunakan alamat Protokol Internet (IP) IPv4 awam yang dinamik.
Katanya, pelanggan-pelanggan ini sedang dialihkan ke IP peribadi, yang akan membolehkan mereka menikmati sambungan lebih lancar di dalam persekitaran terjamin.
"Proses ini akan dilaksanakan secara jarak jauh oleh pihak kami, oleh itu, tiada sebarang tindakan perlu diambil oleh para pelanggan yang terlibat dengan proses peralihan ini.
"Para pelanggan yang menggunakan CCTV berasaskan IP dan pengehosan yang telah dikenalpasti tidak akan terjejas kerana mereka akan dikecualikan daripada aktiviti peralihan ini," katanya hari ini.
Menurut TM, aktiviti ini sedang berjalan, dengan tempoh gangguan yang minimum (jika ada) iaitu antara 2 hingga 5 minit.
Jelasnya, setelah aktiviti peralihan ini selesai sepenuhnya, prestasi sambungan internet para pelanggan tidak akan terjejas.
"Kesemua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan terlebih dahulu berkenaan aktiviti ini.
"Kami percaya aktiviti ini dapat memberikan lebih jaminan keselamatan kepada para pelanggan unifi kami semasa mereka melayari internet atau menggunakan alatan dan aplikasi dalam talian," katanya. - DagangNews.com